Anda di sini

PRN Sarawak: GPS dijangka kekal 4 kerusi di Bahagian Betong

Advertisement
Uggah menyampaikan cenderamata kepada Abang Johari sempena perasmian pecah tanah Lapangan Terbang Baru Bebuling, Spaoh. - Gambar Unit Komunikasi Awam Sarawak

KUCHING: Empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bahagian Betong diyakini akan menyumbang kemenangan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Timbalan Ketua Menteri juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keempat-empat DUN berkenaan iaitu Bukit Saban, Layar, Saribas dan Beting Maro merupakan kubu kuat kepada GPS.

"Kita di kawasan bahagian Betong, sama ada DUN Layar, Bukit Saban, Saribas dan juga Beting Maro menyatakan bahawa kami komited untuk terus memberi sokongan kepada Ketua Menteri.

"Kami akan berjuang dan ini bukan kerana kita terlalu yakin tetapi keempat-empat kerusi DUN ini sememangnya kubu kuat GPS dan ia kekal menjadi kubu kuat.

"Kami akan menyumbang kerusi kepada Yang Amar Berhormat pada 18 Disember nanti," katanya berucap pada majlis majlis perasmian pecah tanah Lapangan Terbang Baru Bebuling, Spaoh yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Dewan Masyarakat Spaoh di Betong, hari ini.

Uggah berkata, ia kerana hanya pemimpin berpengalaman seperti Abang Johari yang mampu menjadi pemimpin yang membawa masa depan cerah kepada Sarawak.

Katanya ia kerana Sarawak akan menghadapi pelbagai cabaran getir pada masa akan datang yang memerlukan seorang pemimpin berpengalaman untuk menghadapinya.

Sementara itu mengenai projek lapangan terbang baru Bebuling, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, projek berkenaan dijangka siap menjelang 2023.

"Projek ini akan membawa impak besar bukan sahaja kepada Spaoh tetapi kawasan Food Basket di negeri ini iaitu yang bermula dari Mukah hingga ke Betong, yang akan mendapat manfaat daripada projek ini.

"Kita di sini, mungkin sebelum ini tidak menjangkakan akan mempunyai lapangan terbang sendiri tetapi hari ini ia menjadi nyata dan saya pasti ia akan memberi manfaat kepada semua termasuk produk pelancongan," katanya.

Beliau berkata malahan ia umpama hadiah yang cukup besar kepada penduduk sekitar, kerana lapangan terbang yang dibina itu bertujuan untuk membawa produk pertanian, ternakan selain hasil produk Food Basket.

Katanya dengan itu produk atau hasil tani penduduk mampu dipasarkan bukan sahaja luar kawasan Spaoh tetapi ke luar negara.

  • oleh
  • Advertisement