Anda di sini

Penjara dua bulan kerana curi barang

Advertisement
 

MIRI: Seorang penjenayah tegar dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan mencuri pelbagai barang dari sebuah premis di kompleks beli-belah di sini.
    
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.
    
Macperhson Mike Joshua Michael, 30, dari Bandar Baru Permyjaya di sini didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah mencuri satu set produk wanita bersalin, satu kotak Soy Collagen, satu kotak kopi Durian Belanda, 15 pasang subang perak dan 135 pasang subang keluli yang kesemuanya bernilai RM2,765 kepunyaan Liyawati Tang.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10 pagi, 23 November lalu di sebuah premis di kompleks beli-belah Jalan Miri-Pujut di sini.
    
Hasil siasatan lanjut polis mendedahkan bahawa tertuduh mengaku telah mencuri barangan tersebut dan kemudian menjualnya kepada seorang wanita warga asing dengan harga RM30.
    
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement