Anda di sini

Mesin layan diri dengan Braille untuk komuniti cacat penglihatan

Advertisement
 

Oleh Muhammad Basir Roslan

Artikel ini bersempena dengan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa yang disambut pada 3 Dis setiap tahun. 

MESIN layan diri minuman dan makanan ringan antara kemudahan yang boleh ditemukan hampir di merata tempat, khususnya di kawasan tumpuan awam di negara ini.

Bertujuan memudahkan ahli masyarakat yang sibuk menjalani kehidupan seharian, faedah mesin layan diri ini tidak dapat disangkal. Malangnya tidak semua lapisan masyarakat dapat memanfaatkan kemudahan ini, antaranya golongan cacat penglihatan.

Tinjauan Mata Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan yang terkini merekodkan kira-kira 800,000 atau 2.44 peratus penduduk negara ini mengalami penglihatan terhad, sementara hampir 95,000 orang pula atau 0.29 peratus buta sepenuhnya.

Bagaimanapun menurut Eksekutif Aksesibiliti dan Advokasi Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) Siti Huraizah Ruslan, kebanyakan kemudahan awam di negara ini tidak mesra golongan kurang upaya, khususnya yang cacat penglihatan, sekalipun perkara itu diperuntukkan di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008. 

“Orang yang cacat penglihatan menggunakan deria lain seperti sentuhan dan pendengaran untuk menjalani kehidupan, dan bercakap tentang mesin layan diri, kemudahan ini perlu dilengkapi tulisan Braille selain bantuan audio,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

BUKAN ISU REMEH 

Katanya, sepertimana individu normal, golongan cacat penglihatan juga sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi menguruskan pelbagai komitmen, dan kesibukan itu menyebabkan ada masanya mereka tidak sempat singgah di kedai atau kafe untuk membeli makanan atau minuman.

Sepatutnya keperluan untuk “menghilangkan dahaga atau mengalas perut buat sementara” boleh dipenuhi oleh mesin layan diri, namun bagi golongan cacat penglihatan, perkara itu tidak dapat dilakukan tanpa bantuan individu normal. 

Justeru, usaha memastikan mesin layan diri makanan ringan dan minuman dilengkapi ciri-ciri yang memudahkan penggunaan oleh komuniti cacat penglihatan bukanlah isu remeh, tegasnya.

Untuk tujuan itu,  Siti Huraizah berkata  MAB bekerjasama dengan  ATLAS Vending (M) Sdn Bhd, syarikat pengeluar mesin layan diri di negara ini.

Mesin layan diri yang menampilkan ciri-ciri khusus bagi memenuhi keperluan golongan cacat penglihatan itu turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai mesin layan diri dilengkapi tulisan Braille pertama di Malaysia pada 28 Mei lepas. 

Mesin berkenaan turut menyediakan kemudahan bayaran tanpa tunai selain bantuan audio.

Mengulas lanjut, Siti Huraizah yang juga ahli jawatankuasa Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), berkata sebanyak 11 mesin layan diri sedemikian telah ditempatkan di lokasi strategik di Lembah Klang seperti Brickfields.

 Kawasan terbabit dikenal pasti oleh MAB sebagai lokasi tumpuan komuniti cacat penglihatan yang berulang-alik untuk bekerja dan lain-lain, katanya, menambah mesin layan diri itu juga boleh digunakan oleh individu normal.

WUJUDKAN KESAMARATAAN 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAB George Thomas berkata usaha berkenaan adalah sebahagian daripada matlamat MAB untuk mendidik dan mewujudkan peluang  sama rata bagi golongan cacat penglihatan, selain meningkatkan taraf kualiti hidup mereka.

“Tanpa teknologi yang ditampilkan pada mesin layan diri ini, individu normal mungkin tidak sedar kesukaran yang dihadapi oleh komuniti cacat penglihatan dalam menjalani kehidupan seharian, walaupun perkara itu semudah membeli minuman daripada mesin layan diri,” katanya.

Ketua Pemasaran dan Perniagaan Sampingan ATLAS Vending Amy Gan pula berkata kerjasama itu seiring dengan objektif syarikat untuk mengurangkan halangan yang dihadapi oleh golongan cacat penglihatan di negara ini dalam menjalani kehidupan.

Malah katanya ATLAS Vending menyasarkan untuk terus menambah baik kemudahan yang ditawarkan agar semua ahli komuniti berkeperluan khas dapat mengakses mesin layan diri yang dikeluarkan syarikat itu. 

“Kami sangat gembira kerjasama ini membuahkan hasil selepas berbulan-bulan bekerja dengan pasukan di MAB - bermula dengan penghasilan konsep hingga pengujian prototaip dan seterusnya pengeluaran mesin sebenar.

“Kami meneliti setiap maklum balas dan cadangan daripada pasukan MAB dan menggembleng ciri-ciri yang dicadangkan itu ke dalam reka bentuk mesin sebenar,” jelas beliau. 

Menurut Gan, kerjasama itu secara tidak langsung turut menambah baik teknologi syarikat serta reka bentuk mesin layan diri yang dikeluarkan.

“Kami telah terlibat dalam perniagaan ini sejak 40 tahun lalu dan inisiatif ini merupakan satu lagi pencapaian kami.

“Syarikat juga bersedia memperluas pengeluaran mesin layan diri seumpama ini jika ada permintaan daripada komuniti,” katanya.

Malah katanya teknologi yang digunakan itu tidak terhad untuk mesin layan diri minuman sahaja, sebaliknya boleh diubah suai dan dipasang pada pelbagai mesin layan diri lain.

“Kami juga berharap dapat bekerjasama dengan badan bukan kerajaan yang lain. Buat masa ini kami sedang mengkaji untuk memperkenalkan mesin layan diri bagi pengguna kerusi roda,” tambah beliau. - Bernama 

Advertisement