Anda di sini

KPPK sedang perhalusi permohonan pekebun kecil bagi geran penanaman baharu sawit

Advertisement
Willie ketika mengadakan sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama
Willie ketika mengadakan sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang memperhalusi permohonan pekebun kecil bagi mendapatkan geran menerusi skim penanaman baharu kelapa sawit yang diluluskan dalam Bajet 2022.

 Timbalan Menterinya Datuk Willie Mongin berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM35 juta di bawah Bajet 2022 untuk membantu pekebun kecil memulakan penanaman baharu mereka. 

“Permohonan (pekebun kecil) di bawah skim tersebut sedang diperhalusi,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Willie berkata selain peruntukan geran itu, kerajaan juga akan memberikan benih klon kelapa sawit berkualiti serta baja bagi membolehkan pekebun kecil meningkatkan hasil kebun mereka.

Terdahulu, beliau mengadakan sesi taklimat bersama ahli Parlimen bagi membentangkan prestasi sektor agrikomoditi negara.

Dalam pertemuan tersebut, Willie berkata KPPK mengambil maklum beberapa cadangan ahli parlimen untuk memperkasakan sektor agrikomoditi dalam menambah baik strategi dan program yang dibuat untuk pekebun kecil di seluruh negara.

“Sesi taklimat ini merupakan sesi libat urus yang dilaksanakan oleh kementerian untuk memberi pendedahan mengenai hala tuju pencapaian, isu dan cabaran dalam sektor agrikomoditi serta mendapatkan input untuk menambah baik strategi dan program kementerian dan dalam hal ini penglibatan ahli parlimen adalah penting dalam usaha untuk menambah baik strategi dan program secara terusan,” katanya. - Bernama 

Advertisement