Anda di sini

KPLB serius tingkatkan infrastruktur kawasan luar bandar Sarawak

Advertisement
Hasbi ketika sesi temu ramah bersama Bernama di Bangunan Majlis Amanah Rakyat (MARA) baru-baru ini.
Hasbi ketika sesi temu ramah bersama Bernama di Bangunan Majlis Amanah Rakyat (MARA) baru-baru ini. - Gambar Bernama

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUALA LUMPUR: Sejumlah 18 projek baharu dan 61 projek sambungan bagi projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sarawak  diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Tahun 2021 melibatkan peruntukan RM112.5 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah berkata ia merupakan antara pelbagai inisiatif yang dirancang kerana kerajaan memahami kepentingan meningkatkan kemudahan asas di kawasan luar bandar di negeri itu.  

“Sementara itu, sebanyak dua projek baharu telah diluluskan bagi Jalan Perhubungan Desa (JPD) Sarawak yang melibatkan peruntukan berjumlah RM156.44 juta,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Hasbi berkata Program Bantuan Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada golongan miskin dan miskin tegar kawasan luar bandar di seluruh negara melibatkan siling peruntukan sebanyak RM2.035 bilion bagi pelaksanaan sepanjang RMK12, iaitu bagi RP1 Tahun 2021, dua projek baharu telah diluluskan bagi Sarawak yang melibatkan peruntukan RM111.97 juta.

“Selain itu, di bawah RP1 juga, sebanyak 405 projek bina baharu dan 3,077 baik pulih telah diluluskan bagi PPRT Sarawak yang melibatkan peruntukan lebih RM79 juta. Ini menunjukkan keseriusan kerajaan meningkatkan liputan infrastruktur asas di kawasan luar bandar Sarawak,” katanya.

Dalam Bajet 2022, Ahli Parlimen Limbang (Sarawak) itu berkata RM768 juta diperuntukkan khas untuk pembangunan luar bandar di Bumi Kenyalang, melibatkan 205 keseluruhan projek yang bakal dilaksanakan melibatkan 97 projek baharu dan 108 projek sambungan.   

Hasbi berkata bagi projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sarawak, sebanyak RM83.64 juta diperuntukkan pada tahun 2022 melibatkan tiga projek baharu dan 14 projek sambungan, manakala peruntukan sebanyak RM124.2 juta untuk Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sarawak melibatkan 35 projek baharu dan tiga projek sambungan.

Melalui Bajet 2020, kementeriannya menerima peruntukan berjumlah RM10.53 bilion, meliputi peruntukan mengurus sebanyak RM3.52 bilion dan peruntukan pembangunan pula RM7.01 bilion. 

Selain pembangunan, Hasbi berkata tumpuan juga diberikan terhadap pengurangan kadar kemiskinan di luar bandar Sarawak melalui program-program pembangunan sosioekonomi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). 

Memberi contoh inisiatif yang dilaksanakan tahun ini, beliau memaklumkan menerusi Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) yang memberi peluang kepada penglibatan golongan belia di kawasan luar bandar, seramai 15 peserta dari Bumi Kenyalang mendapat manfaat daripada program itu. 

"PLKK memberi peluang latihan kursus jangka pendek yang tidak melebihi enam bulan diberikan kepada golongan belia luar bandar dari kumpulan pendapatan B40, miskin dan miskin tegar.

"Bagi Program Quick Win tahun ini yang diadakan di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), seramai 110 peserta dari Sarawak mendapat manfaat daripada program ini. Program ini bertujuan meningkatkan kemahiran sedia ada dalam usaha membolehkan peserta meningkatkan pendapatan dan keluar daripada belenggu kemiskinan," katanya. 

Selain itu, seramai 41 anak Sarawak yang menyertai Program Peningkatan Pendapatan (PPP) tahun ini berpeluang menerima bantuan peralatan atau latihan secara one-off bagi menjalankan projek ekonomi masing-masing. 

Mengenai perancangan pembangunan luar bandar di negeri itu, Hasbi berkata kerjasama berterusan dengan kerajaan negeri sentiasa dititikberatkan, selain KPLB menggiatkan pemantauan projek-projek pembangunannya supaya mengikut perancangan dan menepati sasaran yang ditetapkan. 

Beliau berkata kementeriannya juga akan memberi perhatian terhadap beberapa isu di negeri itu seperti meningkatkan akses pendidikan awal komuniti luar bandar serta akses Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional, pembinaan jalan luar bandar, jalan perhubungan desa dan pendidikan. 

"Sebagai contoh, projek Bekalan Air Luar Bandar masih perlu diberi perhatian memandangkan liputan bekalan air paip di rumah masih di tahap 69.8 peratus," katanya. - Bernama 

Advertisement