Anda di sini

Konsep Keluarga Malaysia perkukuh kekuatan negara

Advertisement
 

KONSEP Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu membawa negara ini bergerak ke arah pemulihan ekonomi dalam era pasca pandemik COVID-19.

Beliau berkata, ekonomi perlu dipulihkan, kebajikan rakyat wajar diperkasa dan keyakinan pelabur juga wajib dikembalikan.

“Jangan bimbang, hanya dengan kerjasama penuh daripada Keluarga Malaysia, peperangan dengan pandemik COVID-19 akan tamat dengan jayanya.

“Ia menjadi harapan kepada rakyat negara ini yang mana penggunaan pelitup muka adalah sebahagian daripada kehidupan norma baharu, senyuman akan kembali dalam Keluarga Malaysia yang saya kasihi,” katanya ketika melancarkan Konsep Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana, Wisma Radio, Angkasapuri pada 8 Oktober 2021.

KELUARGA MALAYSIA

Sejak pengenalan konsep Keluarga Malaysia, ramai yang tertanya-tanya apa maksud dan kenapa menjadi semangat yang ingin diguna pakai oleh kerajaan kini.

Perdana Menteri menjelaskan, semangat itu sangat penting kerana institusi kekeluargaan sentiasa memainkan peranan dalam melindungi fahaman agama, keselamatan, martabat dan memastikan semua ahli keluarga dijaga.

Katanya, kepelbagaian perayaan di Malaysia juga telah menjadi tunjang utama negara ini dan perlu dipertahankan secara berterusan.

“Justeru, nilai setiap Keluarga Malaysia adalah komponen penting yang akan memutuskan jatuh atau bangunnya negara ini,” katanya.

Konsep Keluarga Malaysia mahu amalan hidup dalam suasana harmoni dan kesatuan. Bagai ‘serumpun bak serai, sesusun bak sirih’ yang menekankan konsep kehidupan berjiran.

Konsep berkenaan juga selari dengan perjalanan ke arah memulih dan mengembalikan negara daripada kesan negatif terhadap kesihatan dan ekonomi seperti yang dialami sekarang.

“Konsep Keluarga Malaysia dan pendekatannya tidak susah untuk diamalkan kerana nilainya sudah diamalkan oleh setiap keluarga dalam negara ini.

“Apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk mengharmonikan suasana dan mengangkat nilai ini sebagai panduan ke arah menguatkan lagi kekuatan negara dalam kepelbagaian agama, bangsa dan etnik,” katanya.

Katanya, kesemua nilai Keluarga Malaysia adalah berasaskan Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.

 

KESATUAN

Salah satu ciri-ciri dalam Keluarga Malaysia adalah kesatuan.

Antara usaha yang diambil di bawah konsep ini adalah mencari persamaan supaya pemegang taruh utama, Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaatnya.

Pelbagai aktiviti dan usaha disemua kementerian dan agensi dirancang bagi menambah baik pendekatan dalam pelaksanaan program serta inisiatif agar ia mampu mencapai rakyat jelata dengan pantas.

Menerusi konsep Keluarga Malaysia, kerajaan juga akan melaksanakan inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di mana 2,000 unit rumah akan disediakan kepada Keluarga Malaysia yang mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan disebabkan pandemik COVID-19.

Selain itu, pelbagai inisiatif juga diwujudkan dan usaha sedang dilakukan oleh pelbagai kementerian di bawah konsep berkenaan agar tiada Keluarga Malaysia yang ketinggalan.

PASUKAN KELUARGA MALAYSIA

Bagi memastikan penyampaian bantuan rakyat berjalan dengan lancar di seluruh Malaysia, satu pasukan khas ditubuhkan.

Peranan Pasukan Keluarga Malaysia di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah membentuk jentera tunggal bagi membantu pengedaran bantuan.

Ia adalah kerjasama dengan pelbagai agensi menerusi pelbagai kementerian, sektor swasta dan badan bukan kerajaan.

Sejumlah 10,000 ahli Pasukan Keluarga Malaysia ditugaskan di pelbagai kawasan dalam negara bagi membantu mereka yang mendapat kesan daripada pandemik ini.

Jumlah ini dijangka akan terus meningkat dengan pendaftaran lebih banyak kementerian, agensi dan sukarelawan.

Bagi memastikan kejayaan konsep Keluarga Malaysia, setiap kementerian dan agensi kini aktif mengenal pasti produk sesuai untuk diguna pakai sebagai sebahagian daripada usaha membantu rakyat.

Kerajaan juga mahu memastikan setiap produk Keluarga Malaysia akan mampu menyediakan kesan positif yang diharapkan.

Ia akan dilakukan menerusi Hasil Kebahagiaan Utama (KHO) iaitu satu komponen penting dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

 Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat projek Hospital Petra Jaya bersama Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tiga kiri), 23 Oktober lalu. — Gambar Bernama
PRASARANA PENTING: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat projek Hospital Petra Jaya bersama Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tiga kiri), 23 Oktober lalu. — Gambar Bernama

MEMAKSIMUM PEMBANGUNAN

Di bawah Bajet 2022 yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini, Sabah dan Sarawak masing-masing menerima peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM5.16 bilion dan RM4.67 bilion.

Peruntukan itu meningkat berbanding belanjawan tahun lalu yang menyaksikan kedua-dua negeri berkenaan menerima peningkatan RM104 juta untuk Sabah dan peningkatan sebanyak RM158 juta bagi Sarawak.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Borneo baru-baru ini, Tengku Zafrul menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa Sabah dan Sarawak tidak menerima peruntukan mencukupi.

Menurutnya, Kementerian Kewangan sentiasa melihat keperluan negara secara menyeluruh bagi memastikan potensi pembangunan dimaksimumkan di setiap negeri dan jurang kekayaan dapat dirapatkan sebaik mungkin.

Oleh itu katanya, semua peruntukan dibuat berdasarkan prinsip tersebut agar semua negeri mampu membangunkan rakyat masing-masing.  

Katanya, jumlah peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak bagi tahun 2022 adalah RM9.8 bilion atau lebih 20 peratus daripada jumlah peruntukan pembangunan untuk kesemua negeri.

Selaras dengan objektif memacu pertumbuhan negeri, keutamaan diberikan kepada infrastruktur jalan dan infrastruktur asas luar bandar, jelasnya.

RM2 bilion disediakan bagi meneruskan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo. Peruntukan pembangunan infrastruktur luar bandar terutamanya jalan perhubungan desa, bekalan elektrik luar bandar dan bekalan air luar bandar bagi Sabah dan Sarawak pula adalah sebanyak RM1.5 bilion.

Katanya lagi, bagi memastikan suasana pembelajaran yang selesa dan selamat, RM649 juta telah diperuntukkan untuk menaik taraf sekolah daif dengan 112 projek di Sabah dan 165 di Sarawak.

“Terdapat juga peruntukan RM24 juta di bawah program kesihatan kanak-kanak di mana kerajaan telah menubuhkan Bank Susu Ibu untuk bayi pramatang di Unit Penjagaan Neonatal di hospital di negara ini seperti di Sabah dan Sarawak.

“Faedah lain yang telah diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak di bawah Bajet 2022 termasuk subsidi berjumlah RM209 juta untuk perkhidmatan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan juga akan membantu meningkatkan pembangunan ekonomi di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan khas sebanyak RM20 juta bagi setiap negeri untuk projek membabitkan keselamatan makanan, pelancongan dan pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar.

“Sebanyak RM284 juta disediakan bagi melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah pihak berkuasa koridor Sabah dan Sarawak yang bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi melalui projek seperti infrastruktur Taman Perindustrian Samalaju serta pembesaran Pelabuhan Sepanggar.

“Melalui projek dan peruntukan yang disediakan, kerajaan yakin sasaran pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negeri Kasar bagi tempoh 2021 hingga 2025 sebanyak 6.4 peratus bagi Sabah dan 5.3 peratus bagi Sarawak dapat dicapai,” katanya.

 Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga kanan) ketika melancarkan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur di Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan pada 6 November lepas. — Gambar Bernama
KEMUDAHAN RAKYAT: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga kanan) ketika melancarkan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur di Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan pada 6 November lepas. — Gambar Bernama

PENERIMA MANFAAT

Tengku Zafrul berkata, banyak sektor di kedua-dua negeri ini akan mendapat manfaat di bawah Bajet 2022. Sektor pembuatan, pertanian dan pelancongan adalah antara sektor yang akan mendapat manfaat daripada peruntukan pembangunan infrastruktur perhubungan, subsidi pertanian serta langkah pemulihan dan pembukaan semula sempadan.

“Sektor utama tersebut juga akan mendapat manfaat daripada program JaminKerja yang diperuntukkan RM4.8 bilion termasuk insentif penggajian dan program peningkatan kemahiran.

“Kita juga ada inisiatif Semarak Niaga bernilai RM40 bilion yang meliputi pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta RM1.8 bilion untuk kredit mikro.

“Sektor pelancongan khususnya akan menerima manfaat daripada pelanjutan subsidi upah selama tiga bulan dengan peruntukan RM600 juta.

“Tumpuan peruntukan pembangunan akan memanfaatkan sektor sosial khususnya sektor kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan perniagaan,” katanya.

Tambahnya, Orang Asal di Sabah dan Sarawak juga tidak ketinggalan dan kerajaan telah meluaskan liputan PERKESO kepada golongan ini.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM200 juta untuk mengurangkan kos pengangkutan dan pengagihan barangan asas seperti gas petroleum cecair (LPG) dan petrol ke kawasan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Untuk mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan, kerajaan akan menambah lapan lagi pos pemantauan Pasukan Gerakan Am di Pagalungan, Sabah dan Temong Mura, Sarawak.

“Untuk ini, kita telah memperuntukkan RM2.2 juta, manakala empat lagi pintu masuk imigresen baharu akan ditambah di Telok Melano dan Baleh di Sarawak,” katanya.

 

MENINGKATKAN TARAF HIDUP

Di bawah Bajet 2022, Tengku Zafrul berkata, RM1.5 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk projek pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak membabitkan projek pembangunan infrastruktur, ekonomi dan modal insan selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

“Pembangunan infrastruktur di luar bandar Sabah dan Sarawak merupakan antara peruntukan besar dalam bajet. Ia melibatkan pembangunan infrastruktur Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Luar Bandar dan Jalan Perhubungan Desa.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM2 bilion bagi Projek Lebuh Raya Pan Borneo iaitu meneruskan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah daripada Sindumin ke Rampayan Laut dan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak daripada Semantan ke Jalan Pujut Link,” jelasnya.

“Kerajaan juga memberi penekanan terhadap peningkatan jaringan digital di Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar. Ini dapat membantu golongan yang terlibat dalam perniagaan untuk turut menceburi e-dagang. Pelajar juga akan dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian dengan lebih mudah,” katanya.

Dari segi pemberian kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak pula, beliau berkata, untuk tahun 2021 negeri Sabah dan Sarawak masing-masing diperuntukkan RM1.13 bilion dan RM1.24 bilion dan diunjurkan meningkat pada tahun 2022 kepada RM1.16 bilion dan RM1.27 bilion.

“Justeru, Sabah dan Sarawak kekal sebagai penerima terbesar iaitu lebih 30 peratus daripada jumlah pemberian kepada kesemua kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya lagi, Bajet 2022 dirangka untuk memberi manfaat kepada semua pihak selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang memastikan tiada siapa yang akan terpinggir dalam agenda pemulihan negara selepas mengalami kesulitan yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

“Berdasarkan prinsip kebersamaan dan keterangkuman, Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada kita dan peruntukan yang lebih besar kepada dua negeri ini di bawah Bajet 2022 akan membolehkan kerajaan mempercepatkan pembangunan di sana.

“Harapan saya untuk Sabah dan Sarawak adalah untuk kesemua penduduk di kedua-dua negeri ini dapat menikmati kemudahan asas.

“Kerajaan tidak mahu melihat mana-mana golongan yang terpinggir dan telah memperuntukkan RM1.5 bilion pada 2022 untuk infrastruktur asas bagi Sabah dan Sarawak. Infrastruktur asas akan merangkumi peruntukan untuk jalan luar bandar, menaik taraf jambatan serta penyediaan air terawat, bekalan air alternatif dan elektrik,” katanya.

Katanya lagi, sejumlah RM2.5 bilion telah diperuntukkan untuk tujuan ini untuk seluruh negara tahun hadapan, di mana Sabah dan Sarawak akan menikmati sebahagian besar peruntukan tersebut, iaitu sebanyak RM1.5 bilion atau 60 peratus daripada jumlah peruntukan.

“Selain itu, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dirangka untuk memberi liputan yang lebih meluas dan pengalaman kualiti jalur lebar yang lebih baik untuk rakyat juga akan memanfaatkan rakyat Sabah dan Sarawak.

Pelbagai inisiatif diwujudkan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan komunikasi yang mampan bagi memastikan tiada siapa yang tercicir di dalam arus pembangunan negara,” katanya.

Advertisement