Anda di sini

ESC bantu ekspatriat dapat pas imigresen sebaik tiba di Malaysia

Advertisement
 

SEPANG: Ekspatriat yang tiba di Malaysia melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini boleh mendapatkan pelekat pas imigresen di fasiliti Pusat Satelit Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (ESD) yang disediakan di lapangan terbang itu sebaik mendarat.

Berbanding sistem lama, ekspatriat mungkin mengambil masa sehingga 30 hari bagi proses untuk mendapatkan pelekat pas imigresen itu untuk dibenarkan bekerja di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika merasmikan Pusat Satelit ESD (ESC) itu hari ini berkata kemudahan itu mempercepatkan dan memudahkan urusan-urusan golongan tersebut di Malaysia.

"ESC ini merupakan satu penambahbaikan perkhidmatan kepada ekspatriat dan pelabur yang datang ke Malaysia," katanya dan menambah ESC menyegerakan ekspatriat untuk bekerja di Malaysia kerana proses mendapatkan pelekat pas imigresen menjadi lebih cepat berbanding dahulu.

Melalui sistem lama, ekspatriat yang telah mendapatkan surat kelulusan pas imigresen semasa berada di luar negara diberikan Pas Khas 30 hari, dan dalam tempoh 30 hari majikan perlu membuat janji temu di pejabat imigresen bagi proses pengeluaran pelekat pas imigresen untuk ekspatriat serta melunaskan bayaran.  

Dalam tempoh itu, ekspatriat terbabit tidak boleh bekerja kerana belum mendapat pas sehingga pelekat dikeluarkan pejabat imigresen.

Melalui kemudahan ESC, ekspatriat mendapat surat kelulusan pas imigresen selepas membuat permohonan ketika berada di luar negara dan boleh menyelesaikan bayaran secara dalam talian sebelum mereka datang ke Malaysia, dan boleh terus mendapatkan pelekat pas imigresen di ESC KLIA apabila tiba.

Hamzah dalam pada itu berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan kajian komprehensif dan holistik melibatkan ekspatriat termasuk mengkaji jawatan ekspatriat dalam usaha memenuhi keperluan pemindahan kepakaran dan teknologi ke dalam negara.

Menurutnya, golongan ekspatriat yang diterima masuk ke negara ini sekarang terdiri daripada Kategori 1 (EP1) iaitu pengurusan tertinggi seperti pengarah urusan syarikat; serta Kategori 2 (EP2) dan Kategori 3 (EP3) yang merangkumi anggota pengurusan lebih rendah.

Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen, terdapat sebanyak 86,280 ekspatriat aktif di Malaysia pada masa ini dan daripada jumlah itu, 40,948 adalah daripada kategori EP1 yang memegang jawatan pengurusan tertinggi, katanya.

Beliau berkata ekspatriat warga India adalah yang teramai bekerja dan berada di Malaysia, diikuti China, Jepun, Filipina dan Indonesia.

Ditanya adakah kemudahan ESC ini akan diperluaskan di lapangan terbang lain dalam negara, Hamzah berkata buat masa ini ESC hanya akan beroperasi di balai ketibaan terminal utama KLIA, 24 jam sehari.

"Buat masa ini kita akan gunakan di sini (KLIA) dahulu kerana kebanyakan ekspatriat yang datang itu melalui KLIA. Kemudian kita nak tengok sama ada mereka mahu masuk melalui pintu klia2, kalau di sana ramai, kita boleh gunakannya di sana," katanya. - Bernama 

Advertisement