Anda di sini

Dua sahabat disyaki pengedar dadah diberkas 

Advertisement
Dadah dan kereta yang dirampas daripada suspek.

KUCHING: Dua sahabat diberkas apabila disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah dalam satu operasi di Kampung Jaya Bakti, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kedua-dua suspek berusia merupakan seorang lelaki berusia 36 tahun dan wanita berusia 33 tahun.

Menurutnya, suspek diberkas oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, susulan penemuan dadah jenis syabu seberat 105.76 gram yang bernilai sekitar RM10,576.

"Kedua-dua suspek ditangkap di sebuah rumah sekitar jam 11.30 pagi, di mana hasil pemeriksaan ke atas suspek dan rumah tersebut membawa kepada penemuan empat paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

"Kedua-dua suspek kemudian diberkas serta dadah tersebut dirampas dan dibawa ke pejabat BJSN IPD Padawan untuk siasatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, hasil saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

"Manakala semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau dan suspek wanifa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya.

Dedahnya juga, pasukan operasi turut menyita sebuah kereta jenis di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 yang dipercayai digunakan suspek bagi tujuan pengedaran dadah.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

"Kedua-dua suspek juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana didapati positif dadah," katanya.

  • oleh
  • Advertisement