Anda di sini

COVID-19: Sarawak rekod 98 kes baharu, tiga lagi kematian

Advertisement

KUCHING: Sarawak terus merekodkan jumlah kes baharu COVID-19 dua angka dengan 98 kes dilaporkan hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata dengan penambahan 98 kes baharu, jumlah kumulatif kes COVID-19 kini menjadi 250,720.

Menurut JPBNS, 41 daripada kes baharu yang dilaporkan hari ini, adalah kategori satu (tiada gejala), 53 lagi kategori dua (gejala ringan) manakala empat merupakan kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).

Memperincikan kes baharu, JPBNS berkata Kuching merekodkan 25 kes diikuti Sibu (19), Miri (13), Bintulu (11), Limbang (tujuh), Serian (5), Lawas (3), Selangau (3), Samarahan (2),Bau (2), Betong, Asajaya, Lundu, Daro, Pusa , Marudi, Subis dan Saratok (masing-masing satu kes).

Dalam pada itu, tiga lagi kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan dari 22 hingga 27 November 2021, dua daripadanya diklasifikasikan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Pada 22 November, satu kes kematian dilaporkan di Lawas, si mati merupakan lelaki berumur 50 tahun. Jenazah dibawa ke Hospital Lawas untuk tindakan lanjut.

Satu lagi kematian akibat COVID-19 dilaporkan pada 25 November di Miri melibat wanita warga emas (79 tahun). Dia meninggal dunia di Hospital Miri dan dikatakan mempunyai komorbid penyakit darah tinggi.

Pada 27 November satu kematian dilaporkan di Kuching membabitkan wanita berumur 50 tahun. Si mati tiada sejarah penyakit yang diketahui dan diklasifikasikan sebagai kes BID.

Sementara itu itu, JPBNS memaklumkan pada hari ini tiada kes baharu dikesan membabitkan empat kluster COVID-19 yang masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Putai 2, Bukit Mabong, Kluster Ensurai, Limbang, Kluster Jalan Sultan Tengah Rampangi, Kuching  dan Kluster Jalan Ong Tiang Swee, Kuching .

  • oleh
  • Advertisement