Anda di sini

Bersatu akan bantu GPS berkempen pada PRN12

Advertisement
 

SEPANG: Bersatu akan turun membantu dalam menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Abang Open berkempen pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak, bulan depan.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata kedua-dua pihak itu saling bekerjasama sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan.

“GPS adalah parti mesra kepada kami. Tidak ada salahnya kita untuk menyokong parti yang mesra kepada PN,” kata Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN dengan Bersatu adalah sebahagian daripadanya.

Bersatu dan Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding pada PRN12 Sarawak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN12 Sarawak diadakan pada 18 Disember ini dengan hari penamaan calon pada 6 Disember manakala pengundian awal pada 14 Dis.

Komponen GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menguasai 68 kerusi daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Ketika ini, PBB memiliki jumlah kerusi terbesar iaitu 47, PRS (11), SUPP (7) dan tiga oleh PDP.

Sebelum ini, GPS mengumumkan bahawa gabungan itu akan bertanding di semua 82 kawasan DUN pada PRN12 ini. - Bernama 

Advertisement