Anda di sini

ASPIRASI bawa agenda referendum untuk menentang GPS, PH 

Advertisement
 Erick (kanan) dan Hanim menunjukkan borang pencalonan masing-masing, yang dibeli di pejabat pilihan raya di Miri, hari ini.
Erick (kanan) dan Hanim menunjukkan borang pencalonan masing-masing, yang dibeli di pejabat pilihan raya di Miri, hari ini.

MIRI: Berbekal semangat Sarawak For Sarawakian (S4S), ahli gerakannya Erick Chin dan Hanim Jaraee akan membawa agenda Ordinan Referendum untuk menentang calon-calon lawan terutama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Erick dan Hanim masing-masingnya akan bertanding di kerusi DUN Pujut dan Piasau di bawah lambang Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).

Kedua-dua mereka membuktikan komitmen dalam perjuangan tersebut, dengan menunjukkan borang pencalonan yang dibeli pada jam 10 pagi tadi.

"Matlamat S4S dan ASPIRASI adalah untuk mengemukakan usul Ordinan Referendum di DUN Sarawak bagi membentuk satu lagi undang-undang 'firewall' untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Sarawak.

"Ia juga merupakan undang-undang yang ada untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan menentukan sama ada rakyat Sarawak mempunyai kemahuan untuk keluar dari Malaysia, atau melepaskan diri daripada "penjajahan" kuasa politik Malaya," kata Erick pada sidang media di sini, hari ini.

Erick yang juga pengasas S4S berkata, sejak 2013, gerakan S4S telah bergiat dalam mendedahkan kebenaran sejarah Sarawak yang 'tersembunyi' dan menyebarkan kesedaran Hak Autonomi Sarawak serta merayu agar kerajaan negeri Sarawak mewujudkan Ordinan Referendum untuk melindungi hak dan kepentingan rakyat Sarawak.

"Oleh itu, hanya melalui undian di tangan rakyat Sarawak, calon ASPIRASI dan S4S boleh dihantar ke dalam DUN Sarawak dan konsep asas serta rangka kerja Ordinan Referendum akan digubal dan diletakkan di Parlimen untuk dibentangkan dan mendapatkan kelulusan, supaya dapat mengamalkan sistem demokrasi yang sebenarnya, membolehkan ahli-ahli parlimen berdebat dan meluluskan Ordinan Referendum ini," jelasnya.

Sementara itu, Erick yang akan bertanding di kerusi panas, DUN Pujut, dijangka mendapat tentangan sengit daripada Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling (PH), selain calon GPS yang belum diumumkan, di samping calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang juga pengerusi PSB Cawangan Pujut, Bruce Chai dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang akan diwakili oleh peguam muda, Leslie Ting Siong Ngiap.  

  • oleh
  • Advertisement