Anda di sini

PRN Sarawak: Abdullah sedia pertahan kerusi DUN Semop 

Advertisement
Abdullah menyaksikan upacara ringkas penyerahan tapak projek siap menurap jalan dalam Kampung Betanak yang bernilai RM550,000.00.
Abdullah menyaksikan upacara ringkas penyerahan tapak projek siap menurap jalan dalam Kampung Betanak yang bernilai RM550,000.00.

PULAU BRUIT, DARO: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop Datuk Abdullah Saidol telah membuat persediaan rapi bagi mempertahankan kerusi berkenaan bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) ke-12.

Beliau dan jentera pilihan rayanya cukup bersedia dengan pelbagai program kempen tetapi masih menunggu garis panduan (SOP) terbaharu yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat. 

“Saya tidak ada masalah jika pertandingan di DUN N42 Semop melibatkan lebih dari dua penjuru. Saya yakin ramai di kawasan sedar hasil kerja saya dan saya percaya mereka cukup sedar serta menghargai hasil kerja saya,” katanya ketika dihubungi pada Isnin (29 Nov 2021).

Menurutnya, kemuncak hasil utama kerja beliau pada penggal ini ialah kejayaan mendapat peruntukan untuk membina dua jambatan menghubungkan Pulau Bruit (Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Muara Lassa) serta jalan baru dan bekalan elektrik ke penempatan masyarakat Iban di Mupong, juga bekalan elektrik ke beberapa penempatan.

Abdullah yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) pada Isnin mengadakan lawatan kerja ke lapan kampung bagi menyaksikan penyerahan tapak lima projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang siap dan dua projek akan dilaksanakan.

Kos keseluruhan tujuh projek RTP tersebut bernilai RM2.477 juta. 

Antara projek yang siap ialah pembinaan jambatan simen masuk ke Kampung Bruit bernilai RM500,000.00 Projek-projek lain melibatkan menaiktaraf jalan dalam Kampung di Tekajong, Penipah, Salah Kecil, Betanak dan Kut.

Semasa lawatan kerja ini beliau juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan sumbangan dana untuk pelaksanaan projek gotong-royong serta pelbagai barangan yang bernilai RM310,600.00

Sumbangan ini adalah susulan permohonan dari beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), jawatankuasa masjid dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang diterima semasa lawatan kerja beliau pada awal bulan ini.

Abdullah menyatakan penghargaan kepada ketua-ketua kampung yang selama ini sentiasa memberi kerjasama dalam melapor dan mencadangkan keperluan pembangunan untuk kampung masing-masing.

“Tanpa kerjasama dari pemimpin-pemimpin serta penduduk kampung, mungkin sedikit sukar untuk bertindak dengan cepat pelbagai keperluan kampung terutama pelaksanaan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan, jeti dan sebagainya,” ujarnya.

DUN Semop mempunyai keluasan 1,246km persegi yang mempunyai penempatan sebanyak 20 kampung, 50 rumah panjang dan satu penempatan Cina yang kecil.

Dalam pada itu, Abdullah mengakui memang ada beberapa projek penting dalam kawasan DUN Semop lambat dilaksanakan oleh agensi yang berkaitan sehingga sering terbaca di media sosial kekecewaan penduduk yang turut mengecam wakil rakyat.

Antara projek yang ‘meresahkan’ penduduk dalam DUN Semop ialah bekalan air ke tiga kampung di utara Pulau Bruit.

“Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) telah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin kampung tersebut bagi menjelaskan status pelaksanaannya.

Menurut Abdullah, beliau turut kecewa dengan kelewatan projek air di utara Pulau Bruit dan mengharapkan agensi berkenaan sentiasa berusaha utk menyiapkan projek tersebut.

Beliau turut berharap supaya penurapan jalan raya ladang yang menghubungi utara Pulau Bruit dapat dilaksanakan dengan segera kerana jalan ini amat penting sebagai perhubungan penduduk di kawasan berkenaan untuk ke pekan dan bandar terdekat.

Advertisement