Anda di sini

Empat dalang sindiket pemerdagangan manusia ditahan bersama 25 warga Myanmar

Advertisement
 

BUTTERWORTH: Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pemerdagangan manusia membabitkan penyeludupan warga Myanmar, selepas menahan dua lelaki dan dua wanita dalam siri serbuan di sekitar Butterworth, di sini dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra’ais berkata pihaknya menjalankan Op Pintas, sebelum menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang wanita warga Myanmar yang dipercayai dalang utama sindiket tersebut, dalam siri serbuan berkenaan.

Katanya operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan  Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan.

“Polis menahan empat individu berusia 43 hingga 66 tahun itu, dan siasatan awal mereka dipercayai bertanggungjawab membawa masuk pendatang asing tanpa izin dari Myanmar dengan menggunakan jalan darat, menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah.

“Menerusi operasi tersebut, polis turut menahan 21 lelaki dan lima wanita warga Myanmar yang kesemuanya berusia antara 20 hingga 35 tahun di sebuah rumah di taman perumahan. Pemeriksaan awal mendapati mereka tiada sebarang dokumen perjalanan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini menerusi Facebook Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang.

Rahimi berkata berdasarkan siasatan awal yang dijalankan mendapati, setiap pendatang asing tanpa izin itu membayar antara RM4,000 hingga RM5,000 kepada sindiket tersebut untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Katanya polis kini sedang giat mengesan ahli sindiket itu dipercayai mempunyai rangkaian di luar negara, untuk menyeludup pendatang asing tanpa izin masuk ke Malaysia dan pihaknya juga masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sejak bila mereka terlibat dalam kegiatan tersebut.

“Dalam serbuan itu polis turut merampas  empat buah kereta pelbagai jenis, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai. Kesemua mereka termasuk pendatang asing dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, untuk tindakan lanjut dan reman,” katanya.

Beliau berkata empat dalang yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, iaitu kesalahan penyeludupan migran manakala 26 pendatang asing disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki permit yang sah. - Bernama 

Advertisement