Anda di sini

Amalan gotong-royong perlu terus diamalkan

Advertisement
 Penduduk kampung bersama-sama menyiapkan tandas demi keselesaan pengguna.
GOTONG-ROYONG: Penduduk kampung bersama-sama menyiapkan tandas demi keselesaan pengguna.

RANAU: Penduduk kampung perlu terus amalkan semangat gotong-royong demi kesejahteraan kehidupan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata,  kerjasama penduduk kampung yang terus komited untuk bersama-sama menjayakan kerja-kerja melibatkan pembangunan sangat dipuji. 

Katanya, aktiviti atau kerja-kerja baik pulih kerosakan jalan-jalan kampung, jambatan gantung dan pembinaan keperluan-keperluan asas sudah boleh dilaksanakan setelah Sabah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

“Terima kasih kepada semua Ketua Kampung, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang komited dalam melaksanakan agenda-agenda pembangunan kampung yang tertangguh setelah sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, kerajaan akan terus komited dan jentera pentadbiran di kawasan amat memainkan peranan dalam memantau kerja-kerja pembaikan yang mendesak supaya rakyat dapat menikmati kemudahan asas, seiring dengan matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Kerja-kerja pemasangan kalbut di jalan utama Kg. Paka Ulu Sugut telah dilaksanakan secara bergotong-royong yang dikawal selia Ketua Kampung, kini kemudahan itu sudah boleh digunakan dengan selamat,” katanya.

Selain itu katanya, jambatan gantung yang rosak di Kg. Togop Laut juga telah dibaiki sepenuhnya. Tandas balai raya di Kg. Manikulau juga telah selesai dibaiki.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk kampung yang terlibat dalam apa-apa pembinaan di kampung masing-masing menjaga diri dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya lagi, Pengerusi JPKK kampung boleh membuat permohonan peruntukan untuk pembangunan di kampung masing-masing, pada awal tahun hadapan. 

“Mereka hendaklah berbincang terlebih dahulu dengan penduduk kampung mengenai pembangunan yang perlu diutamakan. Permohonan tersebut boleh dimajukan kepada Pejabat Wakil Rakyat dan Pejabat Daerah Ranau," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement