Anda di sini

Siburan jadi daerah penuh, Balai Ringin daerah kecil

Advertisement
Abang Johari melakukan simbolik perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian semalam. Turut kelihatan, Manyin serta tetamu kehormat lain. -Gambar PENERANGAN.
Abang Johari melakukan simbolik perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian semalam. Turut kelihatan, Manyin serta tetamu kehormat lain. -Gambar PENERANGAN.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Siburan akan dinaik taraf sebagai daerah manakala Balai Ringin menjadi daerah kecil di negeri ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh kabinet negeri dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik di dua kawasan yang terletak di pentadbiran Bahagian Serian.

“Kerajaan telah memutuskan untuk menaik taraf daerah kecil Siburan kepada status daerah. Ini bermakna Siburan akan mempunyai semua infrastruktur yang diperlukan bagi sesebuah daerah. Kita akan melantik pegawai daerah (DO) untuk Siburan sebagai daerah baharu di Bahagian Serian.

“Tambahan pula, Balai Ringin akan dinaiktaraf menjadi daerah kecil. Kenapa? Kerana kita lihat Serian sekarang membangun sehingga menyebabkan perkhidmatan rakyat juga mesti dinaiktaraf. Maknanya, infrastruktur baharu akan dibangunkan di Siburan dan Balai Ringin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian di sini, semalam.

Dengan pengumuman ini, Abang Johari berkata, Bahagian Serian kini mempunyai tiga daerah iaitu Serian, Tebedu dan Siburan dengan Balai Ringin sebagai daerah kecil.

Mengenai Kompleks Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, beliau berkata, ia adalah sebuah bangunan yang sangat unik dengan reka bentuknya juga mempunyai Baruk.

Katanya, kompleks itu sangat istimewa kerana telah diisytiharkan oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem pada 2015 manakala majlis pecah tanah dilakukan oleh beliau pada 2017.
 
"Kompleks ini sangat unik dan luar biasa. Ia mencerminkan masyarakat Bidayuh yang luar biasa," katanya.

Sementara itu Abang Johari pada sidang media berkata, kompleks itu yang sudah siap menelan kos RM120 juta dan menempatkan semua agensi kerajaan di bawah satu bumbung.

Malah katanya, sebuah bangunan Pusat Persidangan berharga RM89 juta juga akan dibina bersebelahan dengan kompleks itu.

“Dan kini ia sudah 40 peratus dibina dan dijangka siap pada tahun hadapan,” ujarnya sambil yakin pusat itu akan menjadi tempat untuk para cendekiawan dari masyarakat Bidayuh berinteraksi dan berbincang mengenai hal-hal berkaitan komuniti mereka serta Serian.

Abang Johari dalam pada itu turut mengumumkan projek jalan sepanjang 20 kilometer menghubungkan Temong, Tepoi, Sadir dan Annah Rais yang telah diluluskan di bawah ‘Alternative Funding’ (Pembiayaan Alternatif) dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Beliau berkata, kelulusan projek itu dibuat susulan pertemuan antaranya dan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong yang mana beliau juga menyatakan hasratnya untuk bersara daripada politik.

Menurut Abang Johari, projek ini diluluskan sebagai tanda terima kasih kepada Manyin yang telah banyak berjasa bukan sahaja kepada negeri ini malah Bahagian Serian iaitu tempat asalnya.

"Projek ini akan bermula pada tahun hadapan. Ini yang Datuk Amar Michael Manyin berikan kepada rakyat Serian sebelum beliau bersara," katanya.

Terdahulu, Manyin dalam ucapannya berkata terdapat banyak projek besar yang dilaksanakan di Bahagian Serian sejak penubuhannya pada 2015 termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo yang menyaksikan dua laluan atas dibina di pekan Serian.

Mengambil contoh  lirik daripada lagu popular Bidayuh 'Kampung Love' iaitu 'I kiss you bayuh sadu', beliau berkata projek pembangunan di Serian masih lagi belum cukup dan berharap lebih banyak projek akan disediakan di kawasan ini.

“Antara projek yang diperlukan ialah jalan yang menghubungkan Temong, Tepoi, Sadir dan Annah serta projek Perbandaran Baru Serian dan sambungan ke Taman Danu,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement