Anda di sini

COVID-19: Tatacara kemasukan ke Sarawak ditambah baik, kekang penularan varian Omicron

Advertisement
 

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) membuat penambahbaikan tatacara kemasukan ke Sarawak dari negara lain berikutan pengesanan varian baharu COVID-19 Omicron (B.1.1.529) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

JPBNS berkata semua warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe, tidak dibenarkan memasuki Sarawak buat sementara waktu.

"Warganegara Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara tersebut dibenarkan memasuki Sarawak dengan mematuhi bagaimanapun mereka mesti mengemukakan permohonan dalam sistem EnterSarawak.

"Mereka juga perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantian ditetapkan, di ‘First Point of Entry’ ke Malaysia, tanpa mengira status vaksinasi. Kuarantin di rumah tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, mereka juga tidak dibenarkan transit ke destinasi lain sehingga lengkap tempoh kuarantin dan mempunyai keputusan negatif ujian calitan RT-PCR pada hari ke-12 sebelum dilepaskan dari kuarantin.

Manakala pengambara dari luar negara, wajib melaporkan sejarah perjalanan kepada petugas di lapangan terbang, kegagalan berbuat demikian boleh diambil tindakan undang-undang, katanya.

"Arahan ini berkuat kuasa serta merta," tegasnya.

Pada Sabtu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa memantau laporan WHO dan negara lain berkaitan perkembangan Omicron, varian baharu COVID-19.

Beliau berkata pemantauan berterusan itu akan membantu KKM membuat keputusan bagi meluaskan sekatan pengembaraan terhadap mana-mana negara, sekiranya perlu.

Terdahulu Khairy mengumumkan pengembara warga Malaysia yang merancang lawatan ke tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe tidak akan dibenar meneruskan perjalanan mereka.

WHO mengisytiharkan strain baharu COVID-19, B.1.1.529 (Omicron) sebagai varian membimbangkan (VOC).

Klasifikasi itu meletakkan Omicron yang kali pertama dikesan di Afrika Selatan, baru-baru ini, dalam kategori varian COVID-19 paling membimbangkan bersama-sama Delta, Alpha, Beta dan Gamma.

Sementara itu JPBNS melaporkan sebanyak 158 kes baharu COVID-19 dikesan di Sarawak hari ini dan daripada jumlah itu 153 adalah kategori satu dan dua (tiada gejala dan gejala ringan).

Manakala tiga kes adalah kategori tiga (jangkitan paru-paru) dan dua lagi kes kategori lima ( jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).

"Kuching merekodkan jumlah kes harian tertinggi hari ini iaitu 42 diikuti Sibu dan Miri masing-masing 19 kes, Serian (15), Bintulu (10), Limbang (9), Kanowit (9), Lundu (7), Samarahan (6) dan Simunjan (6).

"Daerah lain yang turut merekodkan kes baharu COVID-19 hari ini ialah Betong (4), Sarikei (4), Lawas (2), Dalat (2), Bau (1), Kabong (1), Matu (1) dan Tebedu (1)," katanya.

JPBNS hari ini  juga memaklumkan tiada kes kematian direkodkan di Sarawak.

"Terdapat empat kluster COVID-19 yang masih aktif di Sarawak ketika ini iaitu Kluster Putai 2, Bukit Mabong, Kluster Ensurai, Limbang, Kluster Jalan Sultan Tengah Rampangi, Kuching dan Kluster Jalan Ong Tiang Swee, Kuching," jelasnya.

Advertisement