Anda di sini

Bersatu tidak tanding PRN Sarawak bukti semangat politik baik

Advertisement
Gambar UKAS
Gambar UKAS

BELAGA: Keputusan parti Bersatu untuk tidak meletakkan calon mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak adalah bukti semangat politik yang baik antara pihak berkenaan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg (gambar) berkata keputusan itu menunjukkan bahawa Bersatu memahami keadaan politik di Sarawak, yakni hanya parti tempatan mengetahui kehendak dan keperluan penduduk negeri.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) atas pengumuman tidak sertai PRN ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sungai Asap, Belaga di sini hari ini.

“Kita (bersama Bersatu) adalah partner dalam kerajaan Persekutuan. Keputusan ini adalah semangat (politik) yang baik dalam kalangan kita.. Saya yakin mereka (Bersatu) faham politik di Sarawak, biarlah orang Sarawak yang menentukan apa yang berlaku di Sarawak dan kita (GPS) boleh menjadi partner dalam gabungan Malaysia untuk rakyat dan negara

Semalam Muhyiddin mengesahkan parti itu tidak akan bertanding pada PRN Sarawak.

Terdahulu Abang Johari turut mengadakan lawatan kerja ke Gereja Umum Borneo Evangelical Mission Apau Koyan dan tapak projek bangunan Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap, di sini.

Dalam ucapannya di majlis berkenaan Abang Johari mengesahkan bahawa penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon akan mempertahankan kerusi DUN itu pada PRN Sarawak nanti.

“Saya nak umumkan bahawa Kennedy Chukpai akan tetap dicalonkan dalam PRN12 akan datang. Kalau anda memberikan sokongan kepada beliau, maka akan banyak lagi projek pembangunan di sini,” katanya.

Pada awalnya Chukpai semasa berucap di majlis itu meminta kerajaan negeri di bawah pentadbiran GPS untuk menimbangkan cadangan membangunkan10 projek rakyat di Belaga, dan Abang Johari kemudiannya menjelaskan, semua permintaan itu hanya akan boleh dikaji dan diluluskan sekiranya rakyat kekal memberikan mandat kepada kerajaan pimpinanannya.

“Sayang sekali, permintaan ini dibuat semasa kerajaan negeri (GPS) tidak lagi memiliki mandat, namun sekiranya anda semua ingin projek ini (direalisasikan), berilah sokongan kepada GPS,” tambahnya.

Chukpai merupakan penyandang kerusi Dun Murum sejak 2016 dan pada PRN yang lepas, beliau berjaya memperoleh 3,265 undi menewaskan tiga calon lain iaitu Mathew Silek (DAP), Stanley Ajang Batok (Bebas) dan Abun Sui Anyit (PKR).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 ialah pada 18 Disember, manakala hari penamaan calon pada 6 Disember. - BERNAMA
 

Advertisement