Anda di sini

15 rumah panjang terima Warta Payung Rumah

Advertisement
Abang Johari menyaksikan penyerahkan cek cura kepada Pemanca Tony Kulleh (kanan) daripada Abdullah (kiri) bagi bayaran balik premium tanah mewakili 178 penerima. Turut kelihatan, Liwan (kanan) dan Kennedy (dua kiri). - Gambar UKAS

BELAGA: Sejumlah lapan dari 15 rumah panjang menerima Warta Payung Rumah dan baki tujuh buah lagi masih dalam proses pewartaan dan penyukatan oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak.

Lapan rumah panjang itu ialah Maran Uma Minggu Magui (Uma Penan Talun), Maran Uma Edmond Lating (Uma Balui Ukap), Maran Uma Donny Dian Talik (Uma Juman), Maran Uma Ding Ajang (Uma Belor), Maran Uma Huvet Laing (Uma Lesong), Maran Uma Nyaban Kulleh (Uma Badeng), Maran Uma Palan Bisau (Uma Baha) dan Maran Uma Huvang Liah (Uma Daro).

Majlis penyerahan warta tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Lamin Adet Bangen Kimet, Uma Baha Skim Penempatan Semula Bakun (BRS) Sungai Asap hari ini.

Peruntukan kewangan bagi bayaran premium tanah untuk kesemua 1,639 ketua isi rumah di Skim Penempatan Semula Sungai Asap Belaga dan 192 di Skim Penempatan Semula Metalun Murum pula disumbang Sarawak Energy Berhad sebagai satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat turut diserah Ketua Menteri.

Selain itu, 461 ketua isi rumah Skim Penempatan Semula Sungai Asap menerima 922 surat hakmilik tanah untuk kegunaan kediaman dan pertanian manakala 192 ketua isi rumah di Metalun Murum menerima 426 surat hak milik tanah.

Bayaran balik premium tanah berjumlah RM3,130,490 turut disampaikan kepada 178 ketua isi rumah di Skim Penempatan Semula Sungai Asap.

Penerima ini adalah mereka yang telah membayar premium tanah dan dikeluarkan surat hak milik tanah.

Sebelum itu Abang Johari turut mengadakan rangka lawatan kerja ke Gereja Umum Borneo Evangelical Mission (BEM) Apau Koyan Sungai Asap Belaga dan Tapak Projek Pembinaan Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap serta diberi taklimat semasa lawatan tersebut.

Turut mengiringi Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Sarawak Datuk Liwan Lagang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Datu Abdullah Julaihi, penyandang DUN Murum Kennedy Chukpai Ugon.
 

  • oleh
  • Advertisement