Anda di sini

Ura-ura BN kembali ke Sarawak, perbuatan 'nakal' segelintir pihak

Advertisement
Abdul Karim ketika ditemui pemberita di BCCK. -Gambar Chimon Upon.
Abdul Karim ketika ditemui pemberita di BCCK. -Gambar Chimon Upon.

KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan ura-ura bahawa Barisan Nasional (BN) kembali ke Sarawak pada pilihan raya ini sebagai kerja 'nakal' pihak tertentu.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, ia mungkin perbuatan sesetengah pihak iaitu tentera siber yang hanya mahu membuat kecoh sahaja.

"Bagi saya apa yang digambarkan dalam media sosial (BN kembali ke Sarawak) adalah kerja-kerja budak nakal... Bagi saya tidak akan (BN) ke sini.

"Kita sudah bersama BN sebelum ini dan saya percaya mereka tidak akan melakukan perkara ini dan mungkin ada beberapa 'Cybertroopers' (tentera siber) yang mahu membuat kecoh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Belia Sarawak @ Satok yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ura-ura mengatakan BN, Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan meletakkan calon masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak.

Sementara itu mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi laluan penuh kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bertanding di 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Disember ini, Abdul Karim berkata GPS mengalu-alukan langkah berkenaan.

"Pada pandangan saya, ia satu keputusan yang cukup baik sekali kerana sebagai rakan sama di peringkat parlimen yang sama-sama menubuhkan kerajaan pusat, apabila mengadakan PRN di sini, lebih baik biarkan Sarawak mengendalikannya sendiri.

"GPS sudah memaklumkan bahawa, kita akan bertanding di 82 kerusi..tambahan Bersatu sebelum ini tiada di Sarawak dan mereka adalah baharu di sini," katanya.

Abdul Karim berkata, Bersatu sepatutnya mencontohui UMNO, dimana sepanjang bersama dalam BN dahulu, UMNO akan memberi laluan kepada parti Sarawak sahaja bertanding setiap kali pilihan raya.

"UMNO faham dengan situasi di Sarawak dan mereka (Bersatu) kemungkinan membuat keputusan selepas melihat bagaimana UMNO mensesuaikan diri dengan parti di Sarawak.

"Mereka juga mungkin telah melihat secara mendalam nadi rakyat Sarawak, yang mahu mentadbir sendiri Sarawak serta mahu pilihan raya dikendalikan sendiri hanya parti-parti Sarawak," tegasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement