Anda di sini

SUPP yakin ada calon terbaik di Dudong

Advertisement
Teng (tiga kiri), Dr Soon (empat kiri), Wong (dua kanan) serta yang lain pada sidang media di Pejabat SUPP Dudong hari ini.
Teng (tiga kiri), Dr Soon (empat kiri), Wong (dua kanan) serta yang lain pada sidang media di Pejabat SUPP Dudong hari ini.

SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dudong yakin parti itu mempunyai calon terbaik untuk memenangi semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 ini. 

Pada sidang media hari ini, Pengerusi Kehormat SUPP Dudong, Datuk David Teng percaya GPS bijak dalam isu yang melibatkan DUN Dudong. 

"Kami (SUPP) sudah siap sedia dan mempunyai calon yang terbaik untuk memenangi semula kerusi DUN Dudong. Juga tidak wajar kita mendesak kawasan tertentu sekiranya kita tidak mempunyai calon yang terbaik. Ini tidak baik untuk GPS. 

"Jadi, kami mempunyai calon yang terbaik, Wong Ching Yong. Saya sudah lama berkecimpung dalam politik, pada dasarnya Wong seorang yang sangat berdedikasi dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan," ujarnya. 

Menurutnya, Wong telah bekerja keras untuk membantu rakyat termasuk isu doktor perubatan dan doktor pergigian yang tidak mendapat penjawatan dan pengiktirafan. 

Teng berkata, Wong telah berkhidmat untuk rakyat walaupun dalam isu kecil sejak memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS). 

"Bagi kami adalah isu kecil, tetapi bagi orang ramai tidak kira penduduk rumah panjang, kampung-kampung, isu itu adalah perkara penting. Kami memerlukan orang yang boleh menangani masalah rakyat, isu asas sebenarnya," jelasnya. 

Teng juga berkata bahawa GPS bukan satu entiti tetapi satu gabungan parti komponen. 

"Saya percaya kepimpinan GPS mempunyai kebijaksanaan untuk memelihara rasa hormat antara satu sama lain," tegasnya. 

Beliau berkata, setiap parti komponen mempunyai tugas tersendiri untuk menjaga kawasan, sekali gus menggesa parti komponen lain untuk tidak mencampuri urusan parti komponen lain. 

Sementara itu, Wong yang juga Pengerusi SUPP Dudong berkata, beliau cukup yakin mampu memenangi semula kerusi GPS sekiranya bertanding di DUN Dudong. 

"Jika saya diberi peluang mewakili GPS, saya akan bekerja keras. Sejak Datuk Dr Soon Choon Teck (bekas ADUN Dudong) bersara pada 2011, saya rasa pembangunan di Dudong kurang memuaskan. 

"Saya mempunyai beberapa perancangan untuk pembangunan kawasan DUN Dudong. Saya akan mengumumkannya tidak lama lagi," jelasnya. 
 

  • oleh
  • Advertisement