Anda di sini

BN tidak bertanding pada PRN12 Sarawak

Advertisement
Annuar ketika sidang media di Tanjung Manis, hari ini.
Annuar ketika sidang media di Tanjung Manis, hari ini.

TANJUNG MANIS: Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).

Perkara ini disahkan oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang juga bekas Setiausaha Agung BN.

"BN adalah rakan akrab kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kita tidak akan menyaingi, menandingi atau menyertai pilihan raya Sarawak.

"Ini kerana kita sudah ada GPS yang kita tahu didukung kuat oleh rakyat Sarawak dan sebuah kerajaan yang sangat berprestasi tinggi.

"Jadi tidak ada sebab, walaupun ini agak aneh untuk pertama kali dalam sejarah pilihan raya sejak merdeka, BN tidak menyertai PRN.

"Inilah satu-satunya bukti muafakat dan kerjasama antara BN dan GPS," katanya pada sidang media setelah Majlis Makan Tengah Hari bersama penerima Pakej Remaja dan Penyerahan Pakej Keluarga Remaja sempena Program Jelajah Komunikasi Strategi di Terminal Tanjung Manis, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu mendedahkan, terdapat poster yang tersebar di laman sosial dengan mengaitkan beliau dan partinya (BN) akan bertanding pada PRN12 akan datang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, politik 'mengacau' tidak akan diterima rakyat dan ini sudah jelas dibuktikan dengan keputusan PRN Melaka baru-baru ini.

"Rakyat sekarang nak cari kestabilan politik dan nak tengok wakil rakyat memberi tumpuan kepada rakyat.

"Saya berani sebut terang-teranglah, Barisan Nasional tidak akan bertanding di Sarawak sebab kita menyokong GPS dari dulu, kini dan selamanya," ujarnya.

Beliau juga berkata, Sarawak sudah mempunyai formula (politiknya) yang baik, pimpinan yang baik, dan parti yang baik.

Justeru, katanya, BN akan memberi dukungan yang kuat kepada GPS kerana GPS juga adalah sebahagian daripada Kerajaan Pusat yang memainkan peranan sangat penting dalam membangunkan negara.

"Hampir 1/3 Kerajaan Pusat dipimpin oleh anak-anak Sarawak menerusi jawatan menteri dan timbalan menteri. Sumbangan anak-anak Sarawak kepada kestabilan politik Nasional sangat besar yang dimainkan oleh kebijaksanaan kepimpinan GPS.

"Itu satu nilai berharga kepada politik negara, yang mana peranan GPS diperingkat Nasional itu terlalu besar untuk saya sebutkan. Ia menjadi pengimbamg, jadi faktor kestabilan yang membolehkan kita berada pada masa ini," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement