Anda di sini

Awang Tengah: Belajar dari pengalaman lalu, tolak PH seperti di Melaka

Advertisement
Awang Tengah bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas lawatan di Tasik Biru, Bau.
Awang Tengah bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas lawatan di Tasik Biru, Bau.

 BAU: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pengundi Sarawak perlu belajar daripada pengalaman selama 22 bulan di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

Beliau yang ditemui selepas lawatan di Tasik Biru di sini hari ini berkata PH pernah berjanji untuk mengembalikan 50 peratus hasil kutipan cukai kepada Sarawak dan 20 peratus royalti minyak dan gas jika menubuhkan kerajaan. 

Tetapi katanya janji tinggal janji dan rakyat tidak boleh mempercayai mereka walaupun jika mereka berdiri atas platform berasingan. 

“Di Melaka terbukti, walaupun penganalisis politik mengatakan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) bertembung sesama sendiri dan memberi kelebihan kepada PH, namum rakyat buktikan mereka menyedari pengalaman semasa pemerintahan PH. 

“Jika di Melaka mereka tolak seratus peratus Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP pun hanya beberapa kerusi menang, takkan orang Sarawak nak bagi sokongan kepada parti yang tiada sokongan di Semenanjung,” katanya. 

Mengenai perbalahan antara parti dalam PH Sarawak berhubung agihan kerusi, Awang Tengah berkata itu masalah mereka.  

Katanya jika mereka memutuskan untuk menggunakan logo parti masing-masing dalam PRN kelak itu juga hal mereka.  

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang proses PRN kelak, Awang Tengah yang juga Timbalan Ketua Menteri tidak menolak ia memberi cabaran kepada jentera parti yang bertanding. 

Tetapi katanya, jentera sudah bersedia dengan norma baharu ini dan telah menyediakan gerak kerja dengan mengambil kira norma baharu ini. 

Mengenai kebimbangan pengundi untuk keluar mengundi pada 18 Disember berikutan pandemik COVID-19, Awang Tengah berkata ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak keluar mengundi. 

Kuasa menentukan kerajaan adalah terletak pada pengundi dan mereka perlu keluar mengundi walaupun dengan pematuhan ketat SOP. 
 

  • oleh
  • Advertisement