Anda di sini

Tiga pelajar, guru ditembak mati di sekolah Cameroon

Advertisement

YAOUNDE: Tiga pelajar serta seorang guru dibunuh kelmarin di sebuah sekolah di wilayah Cameroon yang diselubungi konflik antara pasukan bersenjata dan puak pemisah, lapor media tempatan.

Sekolah menengah di Kawasan Barat Daya telah menjadi sasaran serangan maut oleh individu tidak dikenal pasti, kata saluran berita CRTV.

Selain empat kematian itu, beberapa mangsa tercedera menerima rawatan di hospital.

“Pasukan pertahanan dan keselamatan kini sedang memburu pembunuh,” katanya.

Roger Kaffo Fokou setiausaha Kesatuan Guru-Guru Sekolah Menengah Negara (SNAES) berkata, tiga pelajar ditembak mati. Seorang guru tercedera turut meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.”

“Kumpulan bersenjata menyerbu sekolah itu. Mereka melepaskan tembakan dan melemparkan bahan letupan ke dalam kelas,” jelas seorang ketua kumpulan penduduk tempatan.

Wilayah Barat Daya dan Barat Laut Cameroon menempatkan penduduk berbahasa Inggeris, merangkumi satu per lima daripada populasi 22 juta Cameroon.

Akibat rasa tidak puas hati terhadap diskriminasi oleh majoriti penduduk berbahasa Perancis, mereka mengisytiharkan kemerdekaan pada 1 Oktober 2017.

Puak pemisah bersenjata telah menyerang tentera tempatan, mencetuskan keganasan.

Pertumpahan darah telah meragut lebih 3,500 nyawa, mengakibatkan sekitar 700,000 penduduk kehilangan tempat tinggal. 

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menjelaskan, pembunuhan serta penderaan orang awam telah dilakukan oleh kedua-dua pihak.

Kumpulan pemisah sering kali menyerang bangunan yang melambangkan negeri berbahasa Perancis, termasuk sekolah, dan guru yang mereka tuduh bekerjasama dengan kerajaan Yaounde.

Pada 14 Oktober, kemarahan tercetus di Buea, ibu kota Wilayah Barat Daya, selepas pegawai polis membunuh seorang pelajar sekolah perempuan. 

Kawasan berbahasa Inggeris merupakan legasi daripada era kolonial di Afrika Barat.

Cameroon sebelum ini dijajah oleh Jerman dan dibahagikan selepas Perang Dunia Satu antara Britain dan Perancis. – AFP

Advertisement