Anda di sini

Real sahkan tempat ke pusingan kedua

Advertisement


TIRASPOL: Karim Benzema menjaringkan gol beberapa jam selepas didapati bersalah oleh sebuah mahkamah di Perancis dalam kes peras ugut ketika kelabnya, Real Madrid menewaskan Sheriff Tiraspol 3-0 untuk mengesahkan tempat ke pusingan kedua Liga Juara-Juara pada Rabu.

Benzema menjaringkan gol ketiga pasukannya pada perlawanan di Transnistria ketika Real menebus kekalahan mengejut 1-2 kepada Sheriff di Madrid pada awal musim ini.

Kemenangan meletakkan Real kembali ke tangga teratas Kumpulan D, dua mata di hadapan Inter Milan, yang juga mengesahkan kelayakan ke pusingan kedua selepas menewaskan Shakhtar Donetsk 2-0.

Real sekarang perlu mengelak kekalahan pada perlawanan terakhir menentang Inter di Santiago Bernabeu untuk menamatkan saingan selaku juara kumpulan.

“Kami akan terus berada di landasan tepat. Saya suka cara kami bermain,” kata jurulatih Real, Carlo Ancelotti, di mana pasukannya menewaskan Inter 1-0 pada perlawanan pertama bulan September lalu.

“Skuad ini dalam keadaan baik, semua orang kuat dari segi fizikal. Ia adalah penting untuk menamatkan saingan di tangga teratas dan kami akan cuba  menamatkan pusingan pertama dengan cara kami memulakannya.”

Kekalahan menamatkan impian Sheriff untuk meneruskan kemaraan tetapi mereka mengharungi musim pertama yang memberangsangkan dan sudah mengesahkan tempat ketiga liga untuk kelayakan ke pusingan kedua Liga Europa.

Benzema, yang menerima hukuman tertangguh penjara satu tahun kerana bersubahat dalam usaha memeras ugut bekas rakan antarabangsanya, Mathieu Valbuena pada Rabu, ada menjaringkan gol awal tetapi tidak dibenarkan kerana ofsaid.

Real menguasai permainan tetapi bergelut mencari ruang dengan Rodrigo melihat cubaannya mudah diselamatkan penjaga gol Sheriff, Giorgos Athanasiadis pada minit ke-18.

Namun Real membuka jaringan pada minit ke-30 menerusi gol David Alaba apabila tendangan percumanya terkena dinding pemain dan mengelirukan Athanasiadis.Pasukan tuan rumah bergelut untuk keluar dari kawasan padang mereka sendiri dan Dani Carvajal hampir menambah jaringan tetapi cubaannya melepasi palang gol.

Real berjaya menambah jaringan pada  minit akhir sebelum rehat apabila rembatan Toni Kroos terkena palang dan jatuh melepasi garisan gol selepas disahkan oleh teknologi atas garisan gol.
Benzema melengkapkan jaringan pada minit ke-55 untuk gol ke-15 musim ini.

Ia juga gol ke-76 Benzema dalam Liga Juara-Juara. – AFP 

Advertisement