Anda di sini

PRU15 tidak sesuai diadakan ketika ini

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan berpandangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan ketika ini, kata Menterinya Khairy Jamaluddin (gambar).

Katanya, ia berikutan kemasukan pesakit ke hospital semakin meningkat selain kes COVID-19 yang membimbangkan dan kemunculan varian baharu COVID-19 dalam negara.

“Saya rasa kalau diadakan pilihan raya pada waktu ini adalah sangat tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media bagi menjawab soalan pemberita mengenai kemungkinan perlu diadakan PRU15 dengan segera.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, Khairy berkata beberapa siri perbincangan dan libat urus telah diadakan antara KKM dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak berhubung perkara itu.

“Mereka telah mengemukakan beberapa permintaan yang sedikit berbeza daripada PRN Melaka, contohnya ada kawasan di Sarawak tiada capaian internet dan ia menyukarkan untuk calon melaksanakan kempen di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang ditugaskan untuk perkara berkaitan SOP dan ia akan dimuktamadkan pada 30 Nov, kemudiannya diusulkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti. 

SPR menetapkan 18 Dis sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak dan hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Dis, manakala hari pengundian awal pada 14 Dis.

Ketika ditanya mengenai situasi COVID-19 berkaitan PRN Melaka, beliau berkata kebiasaannya jika diadakan program atau perhimpunan besar, kesannya dapat dilihat dalam 10 hari selepas program diadakan.

“PRN Melaka baru sahaja selesai, kita mungkin tunggu beberapa hari lagi sebeum kita melihat sekiranya ada trend kenaikan mendadak,” katanya. -- BERNAMA

Advertisement