Anda di sini

Edar 3.8 kg ganja, pelajar universiti warga Bangladesh terlepas tali gantung

Advertisement
PUTRAJAYA: Seorang pelajar jurusan kejuruteraan sebuah universiti swasta yang juga warga Bangladesh pada Khamis terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadapnya kerana mengedar 3,875.66 gram ganja empat tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah memutuskan bahawa terdapat merit dalam rayuan Mohammad Habibul Hassan Khan, 26, dan pendakwaan gagal membuktikan elemen pengetahuan dalam kes itu.

Beliau berkata meskipun beg yang mengandungi dadah itu ditemukan di dalam bilik asrama universiti perayu, Mohammad Habibul telah menyatakan dari awal lagi bahawa ia milik pelajar lain bernama Jawad.

“Pelajar ini (Jawad), yang tinggal di luar kampus universiti, telah membunuh diri sehari selepas perayu ditahan bersama dengan beg itu. 

“Hakim perbicaraan tidak menerima keterangan ini dan menganggapnya sebagai penafian semata-mata serta perkara yang difikirkan kemudian,” katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Seri Mariana Yahya.

Hanipah juga berkata hakim perbicaraan telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang kerana pengakuan perayu kepada warden asrama Shazereen Kamaruddin tidak boleh diterima kerana hakim itu tidak mengajukan soalan yang betul.

Mohammad Habibul telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman mati ke atasnya pada 10 April 2019 selepas dia didapati bersalah mengedar dadah di bilik asrama sebuah universiti di Semenyih pada kira-kira 4 petang 10 Dis 2017 mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang dibantu oleh Datuk N.Sivananthan dan Nabila Habib, berhujah bahawa keterangan Shazereen berkaitan pengakuan tertuduh tidak disokong oleh saksi pendakwaan yang lain.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhana Khalid pula berhujah terdapat bukti jelas bahawa Mohammad Habibul mempunyai milikan, kawalan dan pengetahuan mengenai dadah itu yang diberikan oleh Jawad. -- BERNAMA

Advertisement