Anda di sini

Bot karam di Selat Inggeris, 27 maut

Advertisement
Bot organisasi penyelamat laut sukarelawan Perancis, Societe Nationale de Sauvetage en Mer (SNSM), yang mengangkut mayat pendatang asing yang mati lemas tiba di pelabuhan Calais, kelmarin. - Gambar AFP
Bot organisasi penyelamat laut sukarelawan Perancis, Societe Nationale de Sauvetage en Mer (SNSM), yang mengangkut mayat pendatang asing yang mati lemas tiba di pelabuhan Calais, kelmarin. - Gambar AFP

CALAIS: Sekurang-kurangnya 27 pelarian dan pencari suaka dalam perjalanan dari Perancis ke England mati lemas selepas bot mereka karam di Selat Inggeris kelmarin, bencana terburuk membabitkan pendatang asing di selat yang memisahkan Perancis dan United Kingdom (UK). 

Presiden Emmanuel Macron berikrar Perancis tidak akan membiarkan selat itu menjadi tapak perkuburan dan turut berunding dengan Perdana Menteri Britain Boris Johnson bagi mempertingkatkan usaha untuk menghentikan sindiket pemerdagangan yang menjadi dalang peningkatan pelarian. 

Malapetaka ini menyebabkan paling banyak kematian sejak 2018, menyaksikan pelarian menggunakan bot buatan sendiri untuk menyeberangi selat.

Pendakwa raya telah membuka siasatan ke atas pembunuhan tanpa niat selepas bot itu karam di luar bandar pelabuhan Calais. 

Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin berkata, empat suspek pemerdagang yang dikaitkan dengan penyeberangan dengan bot angin itu telah ditahan. 

Darmanin berkata, hanya dua mangsa terselamat ditemui di Calais dan kedua-duanya berada dalam keadaan kritikal. Lima wanita dan seorang kanak-kanak adalah antara yang maut, termasuk seorang wanita hamil.

Kewarganegaraan pelarian tersebut belum dapat dikenal pasti. Angka awal menyatakan 31 pendatang asing maut namun rujukan semula kementerian dalam negeri mendapati 27 terkorban.

Perdana Menteri Jean Castex dijadualkan untuk mengadakan mesyuarat krisis semalam, menurut pejabatnya.

Selepas seorang nelayan meminta bantuan, pihak Perancis mengerahkan tiga helikopter dan tiga bot untuk memeriksa kawasan tersebut, menemui mayat dan mangsa tidak sedarkan diri di lautan.

Johnson yang turut menghadiri mesyuarat krisis bersama pegawai atasan berkata, beliau terkejut dan amat sedih atas kehilangan nyawa di lautan itu. 

“Britain mengalami kesukaran untuk meyakinkan sebahagian daripada rakan kerjasama kami, terutama Perancis, bagi melalukan yang sepatutnya dalam situasi ini,” jelasnya.

Britain telah menggesa tindakan lebih keras daripada Perancis bagi membendung pelarian daripada membuat perjalanan berbahaya itu. 

Dalam perbualan telefon, Johnson dan Macron bersetuju melakukan “usaha segera bersama bagi menghalang perjalanan maut ini” serta “ia penting bagi menilai kesemua pilihan yang ada” bagi menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia, menurut laporan Downing Street. – AFP 

Advertisement