Anda di sini

Tabiat berbelanja Ahmad Zahid tidak berkaitan dengan kes rasuah

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa tabiat berbelanja dan membeli-belah barangan mewah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) dan isterinya Datin Seri Hamidah Khamis menggunakan kad kredit mereka sendiri tidak seharusnya dibangkitkan oleh pendakwaan kerana ia tidak mempunyai kaitan dengan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Peguam Hamidi Mohd Noh berkata pembelaan membantah sekeras-kerasnya tindakan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran membangkitkan fakta yang tidak relevan kerana ia adalah kenyataan yang amat prejudis.

“Tabiat berbelanja tertuduh yang dibawa ke dalam prosiding perbicaraan ini adalah tidak relevan. Kami harus menyangkal keterangan itu terutama bahagian yang beliau hujahkan dalam mahkamah dan dilaporkan dalam berita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berhujah di akhir kes pendakwaan pada perbicaraan Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hamidi memohon agar mahkamah tidak mengambil kira tabiat berbelanja tertuduh yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan kes itu.

Sebelum ini, Raja Rozela memaklumkan mahkamah bahawa Ahmad Zahid dan isterinya telah menggunakan lebih RM1.3 juta dana Yayasan Akalbudi untuk membayar caj kad kredit ketika berbelanja di butik barangan mewah seperti Giorgio Armani, Louis Vuitton dan Hermes, dalam tempoh dua tahun.

Hamidi juga berhujah bahawa Ahmad Zahid tidak sepatutnya didakwa di mahkamah sebaliknya individu yang bersalah ialah bekas Setiausaha Eksekutif beliau iaitu Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Beliau berkata Mazlina bukan ‘kambing hitam’ dalam kes tersebut sebaliknya saksi pendakwaan ke-90 itu merupakan punca Ahmad Zahid didakwa.

Terdahulu, pembelaan berhujah bahawa Mazlina bukanlah saksi yang boleh dipercayai berdasarkan penyataan faktanya yang tidak konsisten, kelemahannya dalam mengingati dan menggambarkan peristiwa lampau dan gelagatnya semasa disoal balas.

Justeru, pembelaan berhujah bahawa pendakwaan terkhilaf apabila menganggap Ahmad Zahid berniat untuk menjadikan Mazlina sebagai 'kambing hitam' atas kesalahan yang dilakukannya.

Pada prosiding semalam, Hamidi berkata adalah tidak adil bagi pendakwaan untuk menyifatkan Ahmad Zahid sebagai ‘Boss’ dalam Yayasan Akalbudi atau mempunyai kawalan ke atas yayasan itu atau kuasa ke atas lembaga pemegang amanah sebagai ketua kepada ketiga-tiganya.

Beliau juga berkata Ahmad Zahid adalah pembiaya utama Yayasan Akalbudi dan pendakwaan turut mengakui hakikat itu.

Pada peringkat ini, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata: “Meskipun tertuduh dikatakan adalah pembiaya utama yayasan itu namun bayaran tetap perlu dibuat selari dengan matlamat yayasan tersebut.

“Meskipun majoriti dana itu, malah jika semua dana datangnya daripada seorang individu, ia tidak bermakna bayaran boleh dibuat untuk semua tujuan,” katanya.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. 

Perbicaraan di hadapan Sequerah bersambung 29 November ini. - BERNAMA
 

Advertisement