Anda di sini

Spekulasi DUN Dudong, Tiong tetap kunci mulut 

Advertisement
Tiong turun padang meninjau masalah penduduk di Lorong Salim 18.
Tiong turun padang meninjau masalah penduduk di Lorong Salim 18.

SIBU: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing enggan mengulas tentang desas-desus yang mengatakan beliau berminat untuk bertanding di kerusi DUN Dudong pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) ini.

Khabar angin bertiup kencang mengatakan Ahli Parlimen Bintulu itu sedang mengintai kerusi itu kerana beliau telah bergerak secara aktif turun padang melawat penduduk di DUN Dudong sejak kebelakangan ini.

"Jangan risau. Apabila tiba masanya, saya akan memberitahu anda," katanya ketika diminta mengesahkan khabar angin itu selepas mengadakan lawatan ke Kampung Sentosa dan kawasan kediaman di Lorong 18, Jalan Salim di sini, hari ini.

Lawatan itu untuk meninjau masalah kemudahan perparitan dan infastruktur, diiringi Pengerusi PDP Dudong, Teo Boon Siew dan bendahari Simon Wee.

Mengenai dakwaan rakan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bahawa kerusi itu secara tradisinya adalah milik parti itu dan mereka dari luar Sibu atau calon 'payung terjun' tidak sepatutnya bertanding di Dudong, Tiong juga enggan mengulasnya.

"Sama ada calon 'payung terjun' atau tidak, saya juga akan memberitahu anda apabila tiba masanya," jelasnya.

Naib Pengerusi PDP Wilayah Tengah, Wong Hua sebelum ini menyifatkan Tiong sebagai lelaki tempatan Sibu yang sebenar, walaupun merupakan Ahli Parlimen Bintulu.

Walaupun GPS masih belum mengumumkan senarai calonnya, Pengerusi SUPP Dudong, Wong Ching Yong telah membeli kertas pencalonannya.

Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) itu juga telah bergerak di sekitar kawasan Dudong dan menyuarakan hasratnya untuk memenangi kerusi itu bagi GPS.

Parti komponen GPS adalah termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Gabungan itu menyatakan tidak akan membenarkan calon daripada komponennya bertanding sesama sendiri dalam pilihan raya.

  • oleh
  • Advertisement