Anda di sini

Satu lagi kejutan daripada AIFA, mara ke suku akhir Terbuka Malaysia

Advertisement
KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara Aifa Azman mempamerkan satu lagi aksi hebat untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia dengan mengalahkan pemain pilihan ketiga kejohanan  Yathreb Adel 3-2 pada Rabu.

Pemain berusia 19 tahun dari Kedah itu yang bertanding menerusi tiket peluang khas, bangkit setelah ketinggalan 1-2 untuk menewaskan pemain nombor 31 dunia dari Mesir itu 11-3, 9-11, 8-11, 11-4, 11-7 dalam pertarungan 47 minit dalam perlawanan pusingan kedua di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil di sini.

Ia merupakan kejutan kedua daripada pemain nombor 69 dunia itu dalam kejohanan berkenaan selepas seorang lagi pemain Mesir Mayar Hany tewas 11-8, 11-5, 11-3 di tangannya dalam perlawanan pembukaan, pada Selasa. 

Aifa kini akan berhadapan tugas berat menentang pemain nombor ke-35 dunia Hana Ramadan, juga dari Mesir yang menyingkirkan pemain nombor 18 dunia dari Wales, Emily Whitlock 11-7, 11-0 dan 11-7 dalam pusingan kedua pada Rabu.

“Selepas memenangi perlawanan pertama, saya ingat boleh menang 3-0 tetapi dia menukar rentak permainan dan saya ketinggalan. Jadi saya menukar balik strategi permainan dalam set keempat kerana dia mengambil segalanya dari tengah, jadi saya perlu memukul bola di hadapan atau belakang untuk menyelamatkan permainan saya. 

“Saya gembira dengan prestasi saya, selepas mengalahkan dua pemain dengan ranking lebih tinggi dan bersedia menghadapi Hana.  Saya lihat permainannya meningkat, saya rasa esok akan menjadi lebih mencabar, saya perlu mengawasi permainannya dan menyediakan strategi permainan yang berkesan esok, “ katanya selepas perlawanan. 

Juara bertahan Rachel Arnold juga mara ke suku akhir selepas menumpaskan pemain pilihan ketujuh Donna Lobban dari Australia 11-9, 12-10, 11-4.

Pemain berusia 25 tahun itu akan menghadapi ujian getir apabila diundi berhadapan pilihan teratas dan pemain nombor satu dunia Salma Hany dari Mesir dalam memburu slot separuh akhir, hari ini.

Sementara itu dalam kategori lelaki, juara bertahan Ng Eain Yow juga melangkah ke suku akhir  selepas menumpaskan rakan senegara Ivan Yuen 11-6,  9-11, 11-6, 11-1 dalam pertarungan selama 53 minit.

“Saya rasa gementar … mengenali Ivan, gaya permainannya dan kebolehannya.  Saya bermula dengan langkah kanan tetapi pada set kedua Ivan bermain dengan baik dan memenangi set itu. 

Saya memberitahu diri saya untuk kekal yakin, percaya pada strategi permainan dan keupayaan saya dan akhirnya saya menang dua set terakhir. Sekarang selepas selepas selesai perlawanan pertama, saya kembali yakin dan berharap untuk mendapatkan sokongan daripada peminat tempatan untuk meneruskan cabaran untuk gelaran juara,” katanya. 

Dalam suku akhir, pilihan ketiga Eain Yow yang mendapat bai bagi pusingan pertama akan berhadapan dengan Nicolas Mueller dari Switzerland yang mengatasi Tayyab Aslam dari Pakistan 11-7, 11-7, 11-7 pada Rabu. -- BERNAMA

Advertisement