Anda di sini

Penganggur ugut bunuh polis, tentera didenda

Advertisement
 

KUCHING: Padah melakukan ugutan bunuh terhadap anggota polis dan tentera, seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Norzahit Saufi, 46, mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut bunuh seorang anggota polis dan seorang anggota tentera yang bertugas pada 17 Mei 2020, jam lebih kurang 6.06 petang di hadapan sebuah kedai di Jalan Semariang Batu, di sini. 

Mengikut keterangan kes, mangsa sedang melakukan tugas rondaan pada hari kejadian sebelum menerima arahan daripada Kawalan Kuching yang meminta mereka untuk menghala ke sebuah kedai binatang peliharaan di Jalan Semariang.

Setibanya mereka di tempat tersebut, penyelia kedai berkenaan memaklumkan mangsa bahawa tertuduh membuat kacau di kedai berkenaan. 

Tertuduh berada di bawah pengaruh alkohol dan tidak beredar daripada kawasan tersebut walaupun telah diarahkan untuk beredar.

Malah, tertuduh sebaliknya mengeluarkan kata-kata kesat berulang kali terhadap kedua-dua mangsa, selain menggugut mereka dengan kata-kata ugutan ‘aku sik kira kau polis ka askar, aku bunuh korang kelak’. 

Sehubungan itu, tertuduh ditangkap pada hari sama untuk tindakan selanjutnya.

Tertuduh tidak diwakili peguam sementara pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.
 

  • oleh
  • Advertisement