Anda di sini

Minggu Saham Digital 2021 berakhir dengan bilangan tontonan positif

Advertisement
Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain pada majlis penutup Minggu Saham Digital 2021
Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain pada majlis penutup Minggu Saham Digital 2021

Salah satu acara literasi kewangan terbesar Malaysia KUALA LUMPUR, 24 November 2021 – Permodalan Nasional Berhad (PNB) malam tadi mengakhiri program utama literasi kewangan tahunannya, Minggu Saham Digital (MSD) dengan kejayaan yang memberangsangkan. Acara tersebut mencatatkan lebih 1.5 juta tontonan selama tujuh hari dan lebih 5 juta penglibatan di semua saluran media sosial rasmi MSD. Program hibur didik selama seminggu yang bertemakan #laburbersama itu bertujuan untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dari semua peringkat umur, melalui pelbagai aktiviti dalam talian.

Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, “Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat, terutamanya peserta yang menjadikan MSD 2021 sebagai acara yang paling menyeronokkan. Semua program kami sepanjang minggu masih boleh terus ditonton di saluran Facebook dan YouTube MSD. Kami berharap para peserta telah berjaya menimba ilmu baharu daripada pengalaman mereka bersama kami, dan terus menyokong usaha celik kewangan kami,” tambah beliau.

Laman web rasmi MSD telah dikunjungi sebanyak satu (1) juta kali dengan peraduan Jom... Kira Duit menerima penyertaan 307,000 dari lebih 9,000 peserta.

Sebagai tanda penghargaan, PNB memberi peluang kepada orang ramai yang mengikuti program MSD untuk memenangi hadiah bernilai lebih daripada RM500,000 menerusi pelbagai peraduan yang diadakan sebelum dan semasa MSD berlangsung.

Senarai pemenang dan hadiah peraduan adalah seperti berikut:

1. Peraduan Jom... Kira Duit

  • Hadiah Pertama - Hyundai Kona 2.0 Standard
    Muhamad Ramli Ab Rahman, Kuala Lumpur
  • Hadiah Kedua - Toyota Yaris 1.5G (AT)
    Filzah Haziyah Ahmad Shah, Kota Kinabalu, Sabah;
  • Hadiah Ketiga - Perodua Ativa 1.0 Turbo AV
    Mohd Shahril Amin Shahda, Teluk Intan, Perak;
  • Hadiah Keempat : Motosikal Honda CB250R
    Abdul Hamid Hasan, Jitra, Kedah; dan
  • Seramai 8 pemenang membawa pulang motosikal 125 Honda Dash, yang mana lima (5) adalah pemenang Ringgit Emas.

2. Peraduan Live Trivia merekodkan 4,592 penyertaan.

3. Peraduan Cabutan Bertuah mencatatkan 2,400 penyertaan.

Ahmad Zulqarnain turut merakamkan penghargaan kepada Rakan Korporat yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan MSD 2021 terus menjadi salah satu acara literasi kewangan terbesar di Malaysia. Rakan Premier MSD ialah Malayan Banking Berhad (Maybank), Sime Darby Plantation Berhad dan UMW Holdings Berhad. Sime Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad, S P Setia Berhad, MIDF Berhad dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) adalah dalam kategori Rakan Utama; manakala MNRB Holdings Berhad (MNRB), CCM Berhad, Duopharma Biotech Berhad, Velesto Energy Berhad, Sapura Energy Berhad, dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd adalah dalam kategori Rakan.

Advertisement