Anda di sini

Kerajaan rancang secara sistematik ganti pesawat Hawk dalam CAP55

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang secara sistematik penggantian pesawat Hawk 108 dan Hawk 208 seperti yang digariskan dalam Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2055 atau dikenali sebagai CAP55. 

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata kerajaan juga telah memulakan proses penggantian dengan meluluskan perolehan baharu pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) melalui Rolling Plan 1, 2021. 

“Tender terbuka antarabangsa bagi perolehan ini ditutup pada 6 Okt 2021 dan kini sedang dalam proses penilaian. Jadi proses dah berjalan dan ia berada dalam perancangan CAP55,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang ingin tahu sama ada kerajaan telah mempertimbang penghentian pesawat Hawk dan status terkini perolehan baharu bagi menggantikan pesawat itu.

Menjawab soalan asal Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) mengenai pangkalan TUDM di kawasan berkepadatan tinggi serta di lokasi yang tidak lagi strategik, Hishammuddin berkata kesemua landasan terbang TUDM mengikut standard piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa yang diaudit secara berkala oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan TUDM sendiri. 

Beliau berkata walaupun berada dalam kawasan berkepadatan tinggi, selagi ia menepati piawaian, tiada keperluan Kementerian Pertahanan (Kementah) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memindahkan dan membuat keputusan drastik berkenaan kedudukan pangakalan TUDM sedia ada.

“Tambahan pula, bagi kesemua operasi penerbangan pesawat TUDM, ia juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan piawaian keselamatan penerbangan yang amat ketat dan tahap pematuhan yang tinggi sebelum sesuatu misi penerbangan dibenar untuk dilaksanakan.

“Antaranya prosedur piawaian anak kapal seperti aspek latihan, kemahiran dan kompetensi, prosedur kejuruteraan yang merangkumi aspek penyelengaraan dan kelayakan terbang berdasarkan Standard Aviation Authority dalam negara dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pengeluar peralatan tulen (OEM),” katanya.

Hishammuddin berkata Kementah dan ATM akan berusaha untuk menambah baik SOP dan langkah keselamatan sedia ada demi memastikan keselamatan anggota dapat dipertingkatkan. 

Terdahulu sebelum menjawab soalan, Hishammuddin menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga juruterbang TUDM Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang terkorban dalam insiden pesawat Hawk 108 di Butterworth, Pulau Pinang pada 16 Nov. 

Beliau turut berharap Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas itu segera sembuh selepas selamat menjalani pembedahan akibat kecederaan di bahagian pinggang dan tulang belakang. - BERNAMA

Advertisement