Anda di sini

ISN lancar pusat pemulihan bertaraf dunia

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Selepas 10 tahun menyumbang kepada pembangunan sukan berprestasi tinggi di dalam negara, Institut Sukan Negara (ISN) terus bergerak ke hadapan menerusi pelancaran Pusat Pemulihan Prestasi Tinggi Bersepadu. 

Kemudahan bertaraf dunia bernilai RM13.8 juta yang terletak di ISN di Bukit Jalil itu dilengkapi kemudahan rehabilitasi terkini bagi menyediakan atlet dengan teknik pemulihan yang canggih sekali gus dapat mengoptimumkan aspek prestasi serta proses pemulihan selepas latihan atau pertandingan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (gambar) menyifatkan pusat pemulihan itu sebagai sesuatu yang membanggakan selain penanda aras dalam bidang sains sukan di negara.

"It's a state of the art (ia adalah kemudahan terkini)  dan saya dapati ianya bertaraf antarabangsa. Tentunya ini berita baik buat para atlet dan juga kepada awam. Saya bersyukur ia telah disiapkan dan mula beroperasi, saya berharap ia digunakan dengan baik.

Saya juga telah meminta ISN memastikan penyelenggaraan fasiliti itu berada di tahap terbaik setiap masa untuk jangka masa panjang. Ia satu-satunya di Malaysia dan tentu sekali kemudahan yang baharu ini adalah amat membanggakan," katanya pada sidang media Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 ISN (ISN10) di sini, hari ini.

Pusat pemulihan itu dibahagikan kepada dua kawasan iaitu basah yang merangkumi kolam renang berukuran 25 meter, kolam “contrast bath” (mandian air panas dan sejuk) dan kolam rehabilitiasi sementara kawasan kering menyediakan kawasan latihan gerak kendur dengan dilengkapi beberapa peralatan untuk proses pemulihan.

Kemudahan itu disediakan kepada atlet berprestasi tinggi, kelab-kelab sukan dan persatuan sukan selain turut dibuka kepada awam bertujuan supaya ia dapat memberi pendedahan dan pilihan kepada orang ramai mengenai kaedah yang sistematik dan saintifik dalam proses pemulihan kecederaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli berkata kemudahan sebegini turut dapat membuka peluang kepada para penyelidik atau pengamal sains dan perubatan sukan untuk menjalankan kajian yang berimpak tinggi dalam peningkatan prestasi sukan negara.

Terdahulu, Ahmad Faizal merasmikan majlis sambutan itu yang menyaksikan pelbagai inisiatif terbaharu diperkenalkan ISN dalam misi terus memainkan peranan cemerlang dalam ekosistem sukan negara.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri TI Lian Ker, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Ramona Mohd Razali, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta wakil-wakil dari badan induk berkaitan.

Antara inisiatif dibuat adalah menjalin kerjasama dengan pelbagai universiti awam tempatan, pusat pengajian swasta dan syarikat swasta; membuat penambahbaikan terhadap Program Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat (MyTID) dan pelancaran “ISN Performance Center” (PPSN 2.0).

Pada majlis sambutan itu juga, ISN turut memperkenalkan anak-anak syarikat yang ditubuhkan untuk menjana pendapatan dan peluang perniagaan sebagai usaha untuk memantapkan lagi fungsi ISN dalam arena sukan negara. - BERNAMA
 

Advertisement