Anda di sini

Curi besi, pekerja kilang dipenjara, didenda

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara enam hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri beberapa batang besi milik syarikat tempat dia bekerja.

Majistret Zaiton Anuar memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh, Mohamad Asrul Jumali, 32, untuk dikuatkuasakan dari tarikh dia direman iaitu pada 20 November lalu.

Mahkamah juga menetapkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu untuk dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan. 

Berdasarkan pertuduhan, lelaki dari Serian itu didakwa mencuri beberapa batang besi milik sebuah syarikat terletak di Jalan Bako Sejingkat pada 20 November lalu, jam lebih kurang 11.49 pagi.

Mengikut keterangan kes, seorang daripada pekerja kilang memaklumkan kepada pihak atasan syarikat yang tertuduh telah mengambil beberapa batang besi jenis c-channel, holo dan steel plat kepunyaan syarikat tersebut.

Hasil siasatan juga mendapati terdapat dua orang saksi yang melihat tertuduh mencuri besi berkenaan. 

Sehubungan itu, laporan polis dibuat dan tertuduh ditangkap pada hari sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.
 

  • oleh
  • Advertisement