Anda di sini

Todak sasar gelaran dunia M3

Advertisement
 

SEPANG: Pasukan e-sukan terkenal Malaysia, Todak meletakkan sasaran untuk menjuarai Kejohanan Dunia M3 Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di Singapura bermula 6 hingga 19 Disember ini.

Pengurus pembangunan e-sukan Todak Studios Sdn Bhd, Radzi Rahman berkata selain persediaan fizikal, pasukan itu turut menekankan persiapan mental pada kali ini dengan menghantar pemain menjalani latihan bersama ahli psikologi supaya cekal menghadapi cabaran sengit.

Lebih dikenali sebagai Ikuto, beliau berkata Todak membariskan gabungan pemain senior dan muda, dengan dua pemain yang membantu pasukan itu meraih tempat ketiga pada edisi pertama pada 2019 di Axiata Arena, Muhammad Danial Mohd Fuad (CikuGais) dan Zikry Shamsuddin (Moon), turut bersama pasukan.

Todak turut diwakili Wan Usman Wan Imran (4Meyz), Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Idreen Abdul Jamal (Momo), Muhammad Amirul Raziq Mohd Azman (Ajiq) dan Mohamad Farhan Wakiman (Moyy).

“Persiapan kita memang mantap, dengan pertambahan dari segi pengurusan iaitu adanya jurulatih (Muhammad Hazim Firdaus Ismail) dan seorang penganalisis, kita harap untuk membawa pulang piala ke Malaysia kali ini,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyempurnakan majlis pelepasan peserta ke Kejohanan Dunia M3 itu, yang turut akan diwakili juara Mobile Legends: Bang Bang Professional League Malaysia (MPL MY) 2021, Team SMG.

Ditanya mengenai desas-desus bahawa MPL MY bakal ditukar kepada model liga francais tidak lama lagi, Radzi berkata Todak, yang merupakan naib juara MPL MY musim ini, bersedia dengan segala kemungkinan walaupun perlu mengeluarkan yuran penyertaan yang tinggi demi menjamin masa depan pasukan dan pemain.

“Bagi saya sistem ini bagus bagi mengukuhkan ekosistem e-sukan Malaysia, menjamin masa depan pemain seperti pembayaran gaji serta dilihat sebagai satu pelaburan yang baik bagi pasukan,” jelasnya.

Liga francais telah diperkenalkan di negara-negara lain, termasuk Filipina dan Indonesia, dengan yuran penyertaan di Indonesia mencecah sehingga US$1 juta (lebih kurang RM4.2 juta). - Bernama 

Advertisement