Anda di sini

Lelaki sepak dan tarik rambut ibu dipenjara tujuh bulan

Advertisement
 

MIRI: Gara-gara marah disuruh membuang sampah, seorang lelaki yang nekad menyepak kaki dan menarik rambut ibu kandungnya dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
    
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 23 Julai tahun ini.
    
Mohd Nurhaffis Mohd Hanis, 20, dari Lorong Mulia 4, Tudan Fasa 2 di sini didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
    
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda RM4,000 atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, pada 23 Julai lalu, seorang suri rumah telah membuat laporan di Balai Polis Lutong.
    
Dalam aduannya, pengadu, 44, mendakwa sekitar jam 9 pagi hari sama, beliau telah menyuruh anak lelakinya melakukan kerja rumah dengan membuang sampah namun anaknya itu lalu mengamuk dan bertindak menyepak kaki dan menarik rambutnya.
    
Akibat perbuatan anaknya itu, pengadu mengalami kesakitan di bahagian kaki dan kepala.
    
Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 10.30 pagi hari kejadian, polis telah menangkap tertuduh di rumah keluarganya di Lorong Mulia 4 Tudan Fasa 2 kerana disyaki terlibat dalam kes ini.
    
Hasil siasatan lanjut polis mendapati semasa kejadian, pengadu telah menyuruh tertuduh membuang sampah namun tidak diendahkan tertuduh sehingga pengadu terpaksa meninggikan suaranya.
    
Keadaan itu telah membuatkan tertuduh marah lalu bangun dan menyepak kaki pengadu. Tertuduh turut bertindak menarik rambut pengadu sebagai usaha menghalang ibunya daripada membuat laporan polis.
    
Pendakwaan dikendalikan ASP Mary Ong di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement