Anda di sini

KPDNHEP kompaun sembilan premis perniagaan dalam Ops Menu

Advertisement
 Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di salah sebuah premis perniagaan di sini.
PERIKSA: Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di salah sebuah premis perniagaan di sini.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberikan kompaun terhadap sembilan premis dalam Ops Menu yang dijalankan di negeri ini sejak awal bulan lalu.

Pengarah KPDNHEP Georgie Abas berkata tindakan terbabit dilaksanakan selepas pemilik premis didapati tidak mematuhi undang-undang dalam dua akta utama kementerian itu.

“Ops Menu dijalankan serentak di seluruh Sabah sejak 5 November lalu membabitkan pemeriksaan sebanyak 874 premis keseluruhan.

“Hasil operasi mengesan empat kes melibatkan kegagalan peniaga meletakkan tanda harga yang menjadi satu kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020. 

“Keempat-empat kes terbabit dikompaun dengan jumlah RM 1,200,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata lima kes yang lain dikesan pada pelanggaran Akta Timbang dan Sukat 1972 selepas peniaga gagal menentusahkan alat timbang yang digunakan untuk tujuan perdagangan. 

“Empat daripada lima kes tersebut dikompaun dengan jumlah RM1,000 manakala satu kes masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Bercakap lanjut berkenaan operasi itu, beliau berkata Ops Menu dijalankan bagi memastikan peniaga restoran dan kedai makan mematuhi perundangan berkaitan tanda harga serta penggunaan alat timbang seterusnya mengelakkan penipuan harga dan manipulasi timbangan.

Tambahnya fokus pemeriksaan Ops Menu adalah pada premis yang menyediakan makanan siap dimasak seperti restoran, kedai makan, medan selera dan restoran makanan laut.

“Kesalahan bagi AKHAP (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Perkhidmatan) 2020 boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. 

“Bagi mana-mana pertubuhan perbadanan yang disabitkan atas suatu kesalahan mengikut Akta ini boleh didenda tidak melebihi RM100,000 manakala kesalahan yang disabitkan mengikut Akta Timbang Dan Sukat 1972, boleh didenda tidak melebihi RM40,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun terhadap pihak yang terbabit,” katanya.

Beliau juga menasihatkan pengguna agar bijak memilih restoran dan kedai makan yang beretika dengan memastikan tanda harga dipamerkan dengan jelas oleh peniaga.

Tambahnya pengguna juga perlu memastikan alat timbang yang digunakan di restoran dan kedai makan adalah masih sah tempoh penentusahannya bagi mengelakkan diperdaya oleh segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab.

  • oleh
  • Advertisement