Anda di sini

Defendan serang, bunuh lelaki kulit hitam di Georgia: Pendakwa raya 

Advertisement
 

WASHINGTON: Tiga lelaki kulit putih yang dihadapkan dalam perbicaraan di negeri Georgia, Amerika Syarikat (AS) bagi pembunuhan Ahmaud Arbery, telah mengejarnya dengan trak pikap hanya disebabkan dia adalah seorang lelaki kulit hitam yang berlari di jalan raya, kata ketua pendakwa raya  kelmarin dalam hujah penutup untuk kes berprofil tinggi tersebut.

Gregory McMichael, 65, seorang pesara polis, anak lelakinya Tracis, 35, dan jiran mereka William Roddie Bryan, 52, sedang berdepan dakwaan membunuh dan lain-lain lagi bagi kejadian menembak Arbery yang berusia 25 tahun pada Februari 2020.

Sebuah video grafik menunjukkan kejadian menembak Arbery yang tidak bersenjata telah menjadi tular di media sosial dan meningkatkan lagi ketegangan dalam protes tahun lepas bagi ketidakadilan perkauman berpunca daripada pembunuhan George Floyd, seorang lelaki kulit hitam berusia 46 tahun, oleh seorang anggota polis kulit putih di Minneapolis, Minnesota.

Ketiga-tiga defendan itu menyatakan, mereka telah mengesyaki Arbery sebagai seorang pencuri yang bergiat aktif di kawasan kejiranan Satilla Shores dan menggunakan satu undang-undang negeri Georgia yang kemudian dimansuhkan yang membenarkan penduduk awam untuk melakukan tangkapan.

Pendakwa raya Linda Dunikoski menyatakan, ketiga-tiga mereka bagaimanapun tidak mempunyai sebab untuk cuba menahan Arbery dan tidak pernah menyatakan kepadanya bahawa mereka sedang cuba menangkapnya semasa dia berjoging di kawasan kejiranan itu.

“Tiada seorang pun defendan melihat Arbery melakukan sebarang bentuk jenayah pada hari itu,” jelas Dunikoski. “Mereka menjangkakan dia mesti telah melakukan beberapa jenayah pada hari tersebut.”

Kedua-dua McMichaels, yang bersenjatakan senapang patah dan sepucuk pistol, serta Bryan mengejar Arbery berdasarkan kepada jangkaan dan keputusan yang tidak berasas,” tambah Dunikoski.

“Mereka membuat keputusan untuk menyerang Ahmaud Arbery kerana dia adalah seorang lelaki kulit hitam yang berlari di jalan raya,” katanya.

“Arbery telah dikejar oleh lelaki tersebut dengan trak pikap selama lima minit sehingga dia terperangkap seperti seekor tikus,” kata Dunikoski, menggunakan kenyataan yang diberikan oleh Gregory McMichael kepada polis.

Pihak juri telah menunjukkan video Travis dan Gregory McMichael mengejar Arbery dengan trak pikap sementara Bryan memandu kenderaannya sendiri serta merakamkan kejadian menggunakan telefon bimbitnya.

Pada satu keadaan, Arbery cuba untuk berlari di depan trak McMichaels yang berhenti.

Travis McMichael, yang keluar dari kenderaan, melepaskan tembakan dengan senapang patah 12-peluru. Arbery yang cedera dilihat bergelut dengan McMichael sebelum dibunuh dengan satu tembakan lagi.

Dunikoski berkata, apa yang Arbery lakukan adalah melarikan diri daripada orang yang mengejarnya.

"Arbery telah diserang,” katanya. “Dia melarikan diri daripada mereka selama lima minit.”

Arbery tidak memiliki senjata dan tidak menunjukkan sebarang ancaman kepada lelaki yang mengejarnya, jelas beliau.

“Dia tidak mengancam sesiapa. Dia hanya melarikan diri daripada orang yang mempunyai senapang patah,” kata Dunikoski.

“Mereka mengejar dan menembak serta membunuhnya,” katanya, “Mereka tidak boleh mendakwa ia sebagai mempertahankan diri.” - AFP

Advertisement