Anda di sini

Solskjaer ditamatkan tugas sebagai pengurus Man United

Advertisement
 

MANCHESTER: Manchester United menamatkan tempoh tiga tahun Ole Gunnar Solskjaer (gambar) sebagai pengurus kelab di Old Trafford pada Ahad tetapi merancang untuk menunggu sehingga akhir musim untuk menamakan pengganti tetap.

Kekalahan memalukan 1- 4 kepada kelab tercorot Watford dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu kelihatan merupakan titik kesabaran terakhir lembaga pengurusan United, yang sebelum ini tetap menyokong Solskjaer dalam beberapa minggu walaupun kekalahan memalukan di tempat sendiri kepada Liverpool dan Manchester City.

Bekas pemain tengah United, Michael Carrick, yang merupakan sebahagian dari kakitangan kejurulatihan United, akan mengambil alih tugas sementara untuk perlawanan akan datang ketika kelab mahu mencari pengurus sementara sehingga akhir musim.

"Ole akan sentiasa menjadi seorang legenda di Manchester United dan ia dengan rasa kesal di mana kami telah mencapai satu keputusan sukar,î kata kelab dalam satu kenyataan.

"Ketika dalam beberapa minggu yang lalu adalah mengecewakan, ia bukan menjadi kayu pengukur kepada semua kerja yang dia sudah lakukan dalam tiga tahun yang lalu untuk membina semula asas  untuk kejayaan jangka panjang."

Solskjaer meninggalkan United yang secara kasarnya sudah terkeluar dari saingan kejuaraan Liga Perdana, 12  mata di belakang pendahulu liga Chelsea di tangga kelapan dan sudah tersingkir dari pertandingan Piala Liga Inggeris.


"Kelab ini adalah segala-galanya bagi saya dan bersama-sama kami saling melengkapi tetapi malangnya saya tidak mendapat keputusan yang kami perlukan dan ia adalah masa untuk saya berundur," kata Solskjaer.

"Anda tahu kelab ini sangat bermakna bagi saya dan apa yang saya mahu capai di sini. Untuk kelab, penyokong, pemain, kakitangan, saya mahu membawa kelab ke cabaran seterusnya untuk liga, untuk memenangi trofi."

Perlawanan pertama Carrick adalah sukar apabila mereka bertandang ke Villarreal untuk perlawanan Liga Juara-Juara hari ini.

Satu lagi kekalahan di Sepanyol akan menyebabkan United memerlukan keputusan lain pada perlawanan terakhir Kumpulan F jika  mahu mengelak tersingkir di pusingan pertama untuk musim kedua berturut-turut.

Satu tempoh lima kekalahan dalam tujuh perlawanan liga terakhir adalah jangkaan yang meleset pada bulan Ogos apabila Cristiano Ronaldo membuat keputusan untuk kembali ke Old Trafford pada hari terakhir pasaran perpindahan pemain.

United memberikan Solskjaer kontrak baharu tiga tahun pada bulan Julai dan juga membelanjakan lebih 100 juta pound untuk mendapatkan Jadon Sancho dan Raphael Varane ketika mereka cuba membina dari kedudukan di tangga kedua liga musim lepas.

Bagaimanapun, Solskjaer gagal mengeluarkan  yang terbaik dari barisan bintang walaupun Ronaldo menjaringkan sembilan gol dari 14 perlawanan. Solskjaer menamatkan tiga tahun tanpa sebarang kejuaraan.

Zinedine Zidane, yang memenangi tiga kejuaraan Liga Juara-Juara ketika Ronaldo dan Varane masih bermain di Real Madrid, pengurus Leicester City, Brendan Rodgers dan jurulatih Ajax, Erik ten Hag, adalah antara senarai awal calon mengisi kekosongan di Old Trafford.

Tetapi keputusan itu harus menunggu sehingga musim panas akan datang untuk pelantikan tetap yang mungkin akan meletakkan lebih ramai calon, termasuk jurulatih Paris Saint Germain (PSG), Mauricio Pochettino, yang sebelum ini dikaitkan dengan United. ó AFP
    

Advertisement