Anda di sini

PRN12: Manyin berundur

Advertisement
 


SERIAN: Datuk Amar Michael Manyin Jawong (gambar fail) mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Tebedu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang.

"Saya sudah membuat keputusan.Dan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) menerimanya.

"Ia (keputusan itu) rasmi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolokium Kepimpinan Pendidikan Serian di sini hari ini.

Manyin telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu selama 25 tahun sejak 1996.

Beliau juga telah memegang pelbagai portfolio kementerian dan yang terkini Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi.

Berikutan keputusan beliau itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meletakkan muka baharu di kerusi majoriti Bidayuh itu

KEMAS KINI BERMULA DI SINI

Pada Pilihan Raya Negeri 2016, Manyin memenangi kerusi Tebedu dengan majoriti undi 6,173 mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Alex Saben dalam pertarungan satu lawan satu.

Manyin, 76, juga menyatakan tidak menyesali keputusan untuk bersara selepas 25 tahun aktif berpolitik.

“Saya tidak kecewa, tiada apa yang hendak dikesali. Saya mengundur diri dengan sukarela, tiada siapa memaksa.

“Saya sudah mengatakan perkara ini (keputusan tidak mempertahankan Tebedu) sejak tahun lepas,” katanya sambil menambah faktor usia mendorong beliau mengambil keputusan tersebut.

Beliau juga memberitahu amat teruja untuk menghabiskan masanya bersama cucu dan mengusahakan ladangnya dengan tanaman yang dirancang.

“Saya menjadi seorang yang bebas dan bekerja di kebun, bersama cucu, sekarang saya ada empat cucu. Saya ada kebun durian. Pada musim durian yang lepas, setiap hari kira-kira 200 buah durian saya tuai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Manyin yang juga Naib Presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyatakan keyakinan, GPS akan menang di kesemua lapan kerusi majoriti Bidayuh pada PRN ke-12 dijangka diadakan bulan depan.

Lapan kerusi majoriti Bidayuh dimaksudkannya ialah Opar, Tasik Biru, Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja.

“Apabila kamu bermain bola, sebelum turun ke dalam padang, kamu mesti penuh yakin. Jadi, melihat kepada rekod-rekod sebelum ini, Bidayuh sentiasa bersama kerajaan.

“Dan mereka mendapat manfaat daripada sentiasa bersama kerajaan. Semasa era Barisan Nasional (BN), kerusi Bidayuh dimenangi BN dan mereka mendapat semua manfaat kerana bersama kerajaan.

“Jadi saya percaya, pada PRN ke-12, saya percaya Bidayuh semakin ramai pendidikan sekarang, mereka tidak akan meminggirkan GPS. Mereka akan kekal bersama kerajaan. Jadi saya sangat yakin, Bidayuh akan bersama GPS,” katanya.

Beliau juga berkata pengundi sekarang melihat calon yang tidak hanya dimiliki parti politik tetapi mempunyai kebolehan bekerja dengan komuniti dan mampu meningkatkan taraf hidup mereka.

Ujarnya lagi, PRN Melaka baharu berakhir telah menunjukkan pengundi menolak calon yang lompat parti dan mementingkan diri.

“Di Melaka, tidak ada satupun ‘katak’ menang. Tidak ada satupun calon bebas menang. Jadi, saya fikir rakyat semakin bijak sekarang. Mereka akan melihat kepada personality, bukan seorang yang pentingkan diri sendiri tetapi pentingkan komuniti juga parti. Bermakna kamu mesti menjadi ahli parti dan dilihat bersama penyokong.

“Kedua, kamu juga sanggup bekerja dengan komuniti. Meningkatkan taraf hidup komuniti. Saya berpendapat rakyat bijak sekarang. Mereka lebih berpendidikan berbanding 20 atau 30 tahun lalu,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement