Anda di sini

Malaysia perlu tangani segera penangkapan ikan berlebihan

Advertisement
 

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menangani segera masalah penangkapan ikan berlebihan memandangkan sumber makanan laut negara kian merosot dengan ketara, kata pegawai Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF)-Malaysia.

Ia juga mengancam mata pencarian bagi sebilangan masyarakat miskin di negara ini, kata Pengurus Kanan (Program Marin) WWF-Malaysia Chitra Devi G.

Katanya berdasarkan statistik Jabatan Perikanan, negara kehilangan 95 peratus simpanan ikan dalam tempoh kurang 60 tahun.

Justeru, beliau berkata pihak berkepentingan termasuk nelayan, pengeluar, pembeli, pengedar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan perlu berganding bahu menyediakan mekanisme pemantauan masing-masing bagi mengekalkan industri perikanan dan mata pencarian individu yang terlibat dalam industri ini.

“Kita perlu mengambil langkah yang konsisten bagi mengurangkan ancaman terhadap sektor perikanan dan  akuakultur sekali gus menjamin bekalan makanan laut pada jangka masa panjang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Chitra turut kesal kerana ramai tidak menyedari bahawa satu daripada alat menangkap ikan yang paling membawa kerosakan ialah pukat tunda, yang bertindak umpama traktor mengaut segala-galanya di dasar laut sehingga memusnahkan pelbagai habitat marin berharga termasuk terumbu karang.

“Golongan nelayan turut meluahkan kebimbangan apabila mereka sudah tidak nampak lagi beberapa spesies ikan yang biasa ditangkap 30 hingga 40 tahun lalu.  Malah, tempoh mereka berada di laut juga semakin panjang tetapi pulang dengan hasil tangkapan yang semakin kurang berbanding sebelum ini, merupakan petunjuk jelas tentang penangkapan ikan berlebihan,” katanya.

Sehubungan itu, kata Chitra adalah penting melaksanakan amalan penangkapan ikan yang mampan dengan menggunakan peralatan dan teknologi yang memelihara ekosistem marin, bagi memastikan pengeluaran makanan laut lebih bertanggungjawab dan margin keuntungan berpatutan, sekali gus mempertahankan industri itu untuk selamanya.

Ini, katanya memerlukan pewujudan pasaran tempatan yang lebih mengutamakan produk ikan yang mampan, sekali gus akan menjadi motivasi kepada nelayan untuk turut menggunakan kaedah penangkapan ikan yang mampan ketika di laut.

Beliau juga menegaskan bahawa adalah penting untuk membangunkan rangkaian bekalan makanan laut yang boleh dikesan seperti menghubungkan produk dengan pengguna untuk memastikan ia mampan dan boleh dikesan di sepanjang rantaian nilai.

Selain itu, katanya institusi pengajian tinggi perlu menggiatkan penyelidikan bagi membolehkan lebih banyak dasar berasaskan sains digubal, yang dapat membantu mengekalkan sumber ikan dan bio marin.

Di pihak pengguna pula, mereka harus menjadi warga yang bijak dan mengurangkan pembaziran, langkah yang seiring dengan usaha tersebut memandangkan Malaysia adalah antara pengguna terbesar makanan laut di Asia.

Menurut Chitra rakyat Malaysia sangat menggemari makanan laut, tetapi mulai sekarang mereka perlu mengambil langkah-langkah yang mampan untuk membolehkan mereka terus menikmatinya tanpa menyebabkan industri tersebut pupus.

"Selain itu, makanan laut merupakan elemen makanan keselamatan sangat penting bagi rakyat Malaysia memandangkan satu pertiga daripada keperluan protein haiwan kita adalah daripada sumber laut,” katanya.

Beliau menambah WWF-Malaysia bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan termasuk agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan, komuniti pantai, pemain industri dan NGO untuk memperbaharui amalan perikanan di peringkat nasional mahupun dunia dengan menumpu kepada amalan mampan. - Bernama 

Advertisement