Anda di sini

Jimmy Wong umum keluar DAP

Advertisement
JIMMY WONG
JIMMY WONG

KOTA KINABALU: Berikutan kekalahan mengejut tiga wakil rakyat Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam pemilihan peringkat negeri baru-baru ini, bekas Pengerusi DAP Sabah Datuk Jimmy Wong mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Beliau yang juga bekas Penasihat DAP Sabah mendakwa kepimpinan baharu DAP Sabah lebih bermain politik tanpa mengutamakan asas perjuangan parti yang bersifat inklusif.

Sehubungan itu, Jimmy yang kecewa dengan keputusan pemilihan DAP peringkat negeri bertindak keluar parti dan mahu menjadi ahli politik bebas.

Jimmy yang pernah menyandang jawatan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri mula bersama DAP sejak 2007 dan menjadi antara ahli tertua DAP di negeri ini.

Sementara itu, anaknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong Justin Wong ketika dihubungi berharap agar semua pihak menghormati keputusan yang dibuat oleh ayahnya itu.

Menurutnya, segala sumbangan dan perjuangan ayahnya dalam DAP Sabah tidak akan terpadam.

Justin yang mengakui terkejut dengan keputusan pemilihan parti baru-baru ini tetap berpegang untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat DAP kerana ia mandat yang diberikan oleh rakyat.

Katanya, walaupun asas perjuangan parti tidak dikekalkan dalam pemilihan parti peringkat negeri, DAP Sabah akan terus mendekati penyokong bukan Cina di peringkat akar umbi.

"Kita mahu melihat DAP terus maju ke hadapan, namun dengan keputusan pemilihan peringkat negeri baru-baru ini, ia memberi petanda yang salah kepada pengundi Kadazandusun dan Murut (KDM).

"Asas perjuangan parti sentiasa bersifat inklusif membabitkan semua bangsa. Bagaimanapun, barisan kepimpinan DAP negeri yang baharu seolah-olah cuba menyingkirkan pemimpin bukan berbangsa Cina dan ia bukan tindakan yang betul,” katanya.

Antara wakil rakyat DAP yang kalah dalam pemilihan terbabit termasuklah Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Fong Hin; ADUN Kapayan Jannie Lasimbang; ADUN Elopura Calvin Chong, dan bekas Senator Adrian Lasimbang.
 

  • oleh
  • Advertisement