Anda di sini

Bapa empat anak didenda RM2,700 kerana miliki dadah

Advertisement
 

MIRI: Seorang bapa didenda RM2,700 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini kerana memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine.
    
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Md. Syafique Md. Hilmie setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.
    
Roland Lalo, 42, dari Long Tap, Ulu Baram didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.
    
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh bukan sebagai seorang yang diberi kuasa di bawah ADB 1952, didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 0.04 gram (berat bersih)
    
Methamphetamine merupakan satu item yang terkandung di dalam Bahagian III Jadual Pertama ADB 1952.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4 petang, 13 November tahun lalu di hadapan pam minyak Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, Jalan Miri-Pujut di sini.
    
Di hadapan mahkamah, tertuduh yang merupakan bapa kepada empat orang anak merayu hukuman ringan ke atasnya memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.
    
Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa kes ditetapkan untuk perbicaraan pagi ini, namun tertuduh telah menukar pengakuannya kepada bersalah.
    
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement