Anda di sini

Sulaiman fokus laksanakan manifesto BN

Advertisement
Sulaiman (kanan) berbincang bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Ts Kamel Mohamad pada hari pertama beliau memulakan tugas di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri hari ini. -Gambar Bernama
Sulaiman (kanan) berbincang bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Kamel Mohamad pada hari pertama beliau memulakan tugas di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri hari ini. -Gambar Bernama

MELAKA: Meneruskan amanah dan mandat yang diberikan oleh rakyat seperti yang dijanjikan menjadi antara fokus utama Datuk Seri Sulaiman Md Ali apabila kembali memulakan tugas sebagai Ketua Menteri Melaka. 

“Pada saya ini bukan satu tugas yang mudah apabila diberi kepercayaan, amanahnya lebih berat bermakna tugasan yang menanti pasukan saya juga besar.

“Besar dari segi ujian serta kemahuan dan kehendak rakyat yang harus kita kotakan kerana apa yang terkandung dalam manifesto kerajaan Barisan Nasional (BN) akan saya laksanakan segera," katanya kepada media selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasmi sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pagi ini di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini. 

Sulaiman berkata dalam aku janji atau manifesto BN, ada perkara-perkara yang perlu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, setahun atau dua tahun seperti yang telah ditetapkan dalam aku janji tersebut.

"Ini menjadi fokus utama saya dahulu. Janji mesti dikotakan, janji mesti dilaksanakan," katanya sambil menzahirkan rasa syukur kerana mempunyai pegawai yang memberi kerjasama terbaik demi kemakmuran rakyat Melaka.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata selepas ini, beliau akan bertemu dan berbincang semula dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri Melaka dan ahli ex officio untuk melihat perkara yang akan dilaksanakan.

Sulaiman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 selepas BN berjaya membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lepas.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Dewan Seri Utama kira-kira 1 pagi Ahad. - BERNAMA
 

Advertisement