Anda di sini

Pemilihan calon orang muda bagi lahirkan pemimpin negeri berwawasan, melihat masa depan

Advertisement
Abang Johari ketika berucap pada majlis Perasmian Kampung Digital  di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Samajaya, hari ini. - Gambar UKAS
Abang Johari ketika berucap pada majlis Perasmian Kampung Digital di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Samajaya, hari ini. - Gambar UKAS

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil keputusan meletakkan beberapa muka baharu yang merupakan orang muda pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) kerana mahu melihat pemimpin negeri ini berwawasan dan melihat ke hadapan.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini selari dengan agenda kerajaan negeri menjadi Sarawak negeri termaju dalam teknologi ekonomi digital di rantau ini.

Beliau berkata dalam era baharu, era data merupakan bahan api harus boleh diubah bagi menghasilkan produk bernilai tinggi menggunakan teknologi AI (kecerdasan buatan) seperti di negara Estonia.

Sarawak katanya kaya dengan sumber data seperti tanah, matahari dan alam sekitar yang boleh diubah menerusi teknologi terkini dan inovasi bagi menghasilkan produk makanan, kelestarian alam sekitar dan penjagaan kesihatan.

"Sebab itulah saya terpaksa mengambil orang muda seorang dua dari GPS untuk PRN akan datang. 

"Kita hendak meletakkan (calon) orang muda juga (pada PRN12) seorang dua kerana kita hendak melihat barisan pimpinan yang berwawasan dan melihat masa depan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kampung Digital di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Samajaya di sini, hari ini.

Pada satu sidang media Jumaat lalu, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggu berkata Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menampil antara 10 hingga 20 peratus calon muka baharu pada PRN12 akan datang.

Nanta yang juga Setiausaha Agung PBB berkata, ia adalah selaras dengan usaha ke arah pembaharuan parti.

Beliau berkata, calon muka baharu itu dijangka akan mengisi kekosongan bakal ditinggalkan beberapa penyandang yang sudah menyatakan hasrat untuk berundur pada pilihan raya itu nanti.

"Beberapa calon muka baharu ditampilkan sebagai usaha ke arah pembaharuan bagi meneruskan legasi kecemerlangan PBB sebagai tulang belakang pentadbiran kerajaan GPS," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata Sarawak harus tegas dan tidak mudah mengalah demi masa depan negeri dan rakyat.

"Sekarang kita mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, itulah saya takut (ia) terlepas kepada pembangkang...(kalau terlepas) mati kita.

"Ini bukan untuk saya, (tetapi) untuk negara. Saya takut orang luar yang pernah mengatakan Sarawak bakal muflis dalam tempoh tiga tahun kerana Abang Jo buat bajet RM10 bilion. Sudah lebih tiga tahun dan sekarang tahun keempat (saya menjadi ketua menteri) Sarawak tidak muflis, malah pendapatan kita bertambah," katanya.

Abang Johari berkata kumpulan berkenaan cemburu dan mungkin mahu memecah belah perpaduan rakyat agar Sarawak tidak sekuat sekarang.

"Mereka cemburu, mungkin mahu memecah belahkan kita supaya kita tidak kuat. Jangan bimbang selagi kita bersatu, kreatif dan berwawasan, Sarawak akan sentiasa kuat.

"Golongan muda dan tua, mesti bekerjasama dan berusaha ke arah masa depan lebih cemerlang tetapi kita mesti tegas, jangan mudah mengalah, kalau kita goyah, susahlah kita," katanya.

Menurutnya lagi beliau menetapkan dasar yang merangkumi golongan berusia dan muda dalam pembangunan Sarawak.

"Bagi yang berusia, kalau dapat ubahlah diri sebab sudah ada pengalaman, bagi orang muda pula, luangkan masa untuk mempelajari perkara baharu kerana anda tahun apa diperlukan pada era baharu," tambahnya.

Advertisement