Anda di sini

Pelabur asing kekal pembeli bersih untuk minggu ketujuh, catat aliran masuk bersih RM66.61 juta

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pelabur asing terus menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu ketujuh berakhir 19 Nov, 2021, yang menyaksikan aliran masuk bersih berjumlah sehingga RM66.61 juta berbanding RM359.14 juta minggu sebelumnya, kata MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata institusi dan peruncit tempatan adalah penjual bersih dan pembeli bersih masing-masing mencatatkan jumlah -RM121.97 juta dan RM58.18 juta, apabila pasaran dibuka semula Isnin lepas.

"Sementara itu, pelabur asing pula merupakan pembeli bersih dengan nilai RM63.79 juta dan kekal sebagai pembeli bersih untuk sebahagian besar minggu urus niaga kecuali pada hari Jumaat," katanya.

MIDF berkata aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada hari Isnin sebanyak RM63.79 juta, manakala satu-satunya aliran keluar ialah pada Jumaat berjumlah -RM84.37 juta.

"Peruncit adalah pembeli bersih setiap hari untuk minggu berkenaan dengan pembelian bersih terbesar oleh peruncit dicatatkan pada hari Isnin dan belian bersih paling sedikit ialah pada Khamis, masing-masing berjumlah RM58.18 juta dan RM22.99 juta.

"Untuk minggu berkenaan, pembeli bersih mendapatkan ekuiti bernilai RM228.38 juta di Bursa Malaysia," tambahnya.

Dalam pada itu, institusi tempatan merekodkan jualan bersih terkumpul mingguan sebanyak -RM294.99 juta.

"Institusi tempatan adalah penjual bersih setiap hari pada minggu berkenaan kecuali pada hari Jumaat, dengan jualan bersih terbesar pada hari Isnin dengan nilai -RM121.97 juta, manakala satu-satunya aliran keluar bersih ialah pada hari Jumaat berjumlah RM31.88 juta," kata MIDF .

MIDF menyatakan sejak awal 2021, peruncit secara kumulatif merupakan satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti tempatan berjumlah RM11.59 bilion.

“Institusi tempatan dan pelabur asing merupakan penjual bersih, masing-masing mencatatkan -RM9.90 bilion dan -RM1.68 bilion.

"Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing merekodkan pergerakan mingguan masing-masing 17.38 peratus, 13.63 peratus dan 34.34 peratus, dalam purata nilai dagangan harian (ADTV)," katanya. - BERNAMA
 

Advertisement