Anda di sini

Jambatan Gantung Satok mercu tanda baharu Kuching, rancak sektor pelancongan negeri

Advertisement
Jambatan Gantung Satok dicantikkan dengan lampu LED menjadikannya serupa Golden Gate Bridge di San Francisco. - Gambar Penerangan
Jambatan Gantung Satok dicantikkan dengan lampu LED menjadikannya serupa Golden Gate Bridge di San Francisco. - Gambar Penerangan

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata  Jambatan Gantung Satok merupakan mercu tanda ikonik baharu di bandar raya Kuching yang menjadi daya tarikan pelancong.

Beliau berkata ini kerana Jambatan Gantung Satok mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan telah diwartakan monumen bersejarah di bawah Antiquities Ordinance 1958.

Menurutnya Jambatan Gantung Satok telah menyaksikan pembangunan di bandar raya Kuching sehingga kawasan Petra Jaya dibuka seperti sekarang dan kawasan pembangunannya begitu meluas.

Beliau berkata Jambatan Gantung Satok menyimpan banyak sejarah selain membawa dari Matang ke bandar Kuching, ia menjadi laluan utama perkhidmatan bas penumpang dari Matang ke Kuching dan dekat dengan sebuah sekolah rakyat Tunku Abdul Rahman.

"Memang benar kita di Kuching tahu sejarah Jambatan Gantung Satok, pembinaannya bermula ketika era Rajah Charles Brooke bagaimanapun ia tertangguh kerana Charles sakit dan meninggal dunia pada 1917.

"Pada era zaman Rajah Charles Vyner Brooke, pembinaan Jambatan Gantung Satok bermula pada 1920 dengan anggaran kos AS$52,000 dan siap sepenuhnya pada 1926. Selepas sembilan dekad iaitu 90 tahun usianya, kabelnya terputus maka ia roboh," katanya ketika merasmikan Jambatan Gantung Satok pada malam Ahad.

Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak Datu Ir. Zuraimi Sabki (kanan) menyampaikan cenderahati tanda kenangan berupa gambar Jambatan Gantung Satok yang diambil pada 1954. 
Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak Datu Ir. Zuraimi Sabki (kanan) menyampaikan cenderahati tanda kenangan berupa gambar Jambatan Gantung Satok yang diambil pada 1954. 

Abang Johari berkata melihat nilai sejarahnya yang tinggi, kerajaan negeri memutuskan untuk membina semula Jambatan Gantung Satok supaya diketahui generasi akan datang.

Beliau berkata bagi merancakkan lagi ekonomi negeri khususnya dari sudut pelancongan, kerajaan negeri membangun dan memodenkan kawasan antara Jamabatan Darul Hana dan Jambatan Gantung Satok dengan menaik taraf tebingan sungai di situ.

Menurutnya projek berkenaan dibangunkan dalam empat fasa bermula dari Kampung Lintang kemudian hingga ke Tupong Batu manakala fasa ketiga dan keempat melibatkan kawasan Kubah Ria serta pembinaan tebingan sungai dari Kampung No.3 hingga ke Satok.

"Bermakna antara Darul Hana hingga ke Jambatan Gantung Satok, akan kita naik taraf dan dicantikkan, baharulah orang dapat 'cruise' dan dapat melihat bagaimana kehidupan penduduk Kuching.

"Kuching menjadi bandar raya yang menarik malah telah diiktiraf sebagai Bandar Raya Perpaduan dan terbaharu diisytiharkan sebagai Bandar Raya Kreatif oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori gastronomi," katanya.

Abang Johari berkata bandar raya Kuching yang pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan dunia bagi kategori gastronomi, yakni berkaitan makanan warisan.

"Tahniah kepada warga Kuching khasnya dan rakyat Sarawak keseluruhannya kerana kejayaan kita diiktiraf. Tahniah juga kerana mendapat jambatan gantung rupanya seperti Golden Gate Bridge di San Francisco dan cukup kaya nilai sejarahnya. 

"Jadi, jagalah bandar raya ini, supaya ia sentiasa bersih, perpaduan kita akrab dan kerjasama erat, menjadi contoh kepada dunia.

"Melalui kerajaan yang stabil dan prihatin, insya-Allah Kuching akan terus membangun di bawah GPS (Gabungan Parti Sarawak). Bukan sahaja Kuching tetapi seluruh Sarawak termasuk di luar bandar," katanya.

Hadir sama isteri beliau Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan dan Kesenian Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi.

  • oleh
  • Advertisement