Anda di sini

Piala Tun Razak 2021: Pahang bertemu Perak di akhir

Advertisement
Pemain Perak Muhammad Husaini Mohd Husin diasak pemain Terengganu Mohd Shahrun Nabil Abdullah pada perlawanan separuh akhir lelaki Piala Tun Abdul Razak 2021 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam Sabtu. -Gambar Bernama
Pemain Perak Muhammad Husaini Mohd Husin diasak pemain Terengganu Mohd Shahrun Nabil Abdullah pada perlawanan separuh akhir lelaki Piala Tun Abdul Razak 2021 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam Sabtu. -Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pahang yang pada satu ketika ketinggalan, mempamerkan permainan menarik untuk mengalahkan juara empat kali Melaka 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti, untuk layak ke perlawanan akhir Piala Tun Abdul Razak 2021.

Naib juara tiga kali, yang ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, berjaya menyamakan kedudukan sebelum memenangi perlawanan separuh akhir yang berlangsung dalam hujan lebat di Stadium Hoki Nasional.

Kejayaan itu membolehkan pasukan lelaki negeri itu, mengiringi pasukan wanita mereka ke perlawanan akhir yang akan berlangsung di venue yang sama hari ini.

Melaka bermula dengan baik dan mendahului menerusi pukulan sudut penalti Amirrullah Zainol pada minit keempat dan melebarkan kedudukan menerusi pukulan penalti Mohamad Faid Farhadh Mohamad Shah pada minit ke-24.

Bagaimanapun Pahang berjaya membawa perlawanan itu ditentukan menerusi pukulan penalti, menerusi gol daripada Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abdul Rahim (gol padang) pada minit ke-37 dan pukulan penalti Muhammad Idris Samad satu minit kemudian, sebelum memenangi menerusi pukulan penalti dan layak ke akhir buat kali keempat selepas edisi ke 2011, 2012 dan 2014.

“Syukur alhamdulillah, bila pasukan wanita layak ke final, ia menjadi pembakar semangat kepada skuad lelaki. Apabila ketinggalan 0-2, saya beritahu kepada pemain supaya pergi habis-habisan, walaupun seri.

“Pemain-pemain memang tak pernah putus asa, dengan kecergasan yang baik, dan mereka bermain habis-habisan hari ini. Kita lupakan kekecewaan lalu, kali ini dengan pasukan baru dan semangat baru, kita harap tuah buat kita esok,” kata jurulatih Mohd Sufian Mohamed kepada Bernama selepas perlawanan, malam Sabtu.

Sementara itu juara bertahan Perak, mengintai kejuaraan buat kali ke-11, selepas menewaskan Terengganu 2-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Juara bertahan itu membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi pukulan penalti Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin, sebelum Arif Sabri menjadikan dua kosong menerusi gol padangnya pada minit ke-46.

Jurulatih Perak Abdul Sukur Adam berkata pemainya bermain dengan baik mengikut perancangannya, namun kekurangan dari segi gerakan penyudah.

Terdahulu dalam kategori wanita, juara bertahan Pahang menewaskan Pulau Pinang 1-0 menerusi gol padang jaringan Nuriza Sulaiman pada minit kesembilan.

Juara dua kali itu akan bertemu Kuala Lumpur yang menewaskan Melaka juga dengan jaringan 1-0 menerusi gol padang Nur Zafirah Aziz, pada minit-minit terakhir perlawanan. - BERNAMA
 

Advertisement