Anda di sini

Piala Malaysia: KL City FC didenda beraksi tanpa penonton di Cheras

Advertisement
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan penyokong Kuala Lumpur City FC yang merempuh masuk ke padang ketika meraikan kemenangan selepas menewaskan Selangor FC pada suku akhir kedua Piala Malaysia 2021 di Stadium Kuala Lumpur, Khamis lalu. -Gambar Bernama
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan penyokong Kuala Lumpur City FC yang merempuh masuk ke padang ketika meraikan kemenangan selepas menewaskan Selangor FC pada suku akhir kedua Piala Malaysia 2021 di Stadium Kuala Lumpur, Khamis lalu. -Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pertembungan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 antara Kuala Lumpur (KL) City FC dan Melaka United FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Isnin ini akan berlangsung tanpa kehadiran penonton.

Ia sebagai hukuman terpaksa ditanggung KL City FC susulan insiden penyokong skuad The City Boys, menceroboh masuk ke dalam kawasan padang sejurus tamat aksi suku akhir kedua antara pasukan itu dan Selangor FC, semalam, yang menyaksikan KL City FC mara ke separuh akhir dengan keputusan agregat 3-0.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata insiden berkenaan jelas melanggar peraturan badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu, berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Kemasukan Penonton Perlawanan Piala Malaysia dan Artikel 4.7.2 Manual Liga-M 2021.

Beliau berkata KL City FC sebagai pasukan tuan rumah didapati bersalah melanggar Bahagian 3 (v) SOP Kemasukan Penonton Perlawanan Piala Malaysia 2021, dengan penyokong dikehendaki mengamalkan penjarakan fizikal seperti termaktub dalam peraturan tersebut.

“Pihak MFL telah menerima surat balas dari KL City FC hari ini di mana Ahli Lembaga Pengarah MFL bersepakat memutuskan KL City FC dikenakan hukuman perlawanan tanpa penonton, untuk perlawanan separuh akhir pertama,” katanya dalam kenyataan MFL, malam Jumaat.

Stuart berkata KL City FC juga bersetuju serta mengambil keputusan untuk tidak menjual tiket bagi aksi separuh akhir pertama tersebut.

Pada masa sama, nasib berbeza buat Terengganu FC (TFC) yang dikenakan hukuman lebih ringan, berhubung insiden pencerobohan penyokong ke dalam kawasan padang sewaktu bertemu Selangor FC pada aksi peringkat Kumpulan C di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 7 November lepas.

Stuart berkata sekretariat MFL mendapati TFC melanggar Klausa 4.7.2(i) (f) (5) Peraturan Pertandingan dalam Manual Liga-M, yang menyatakan bahawa kelakuan penyokong atau penonton hendaklah tertib, selain turut gagal mematuhi peraturan penonton hendaklah mengekalkan penjarakan fizikal.

“Sekretariat MFL telah menerima laporan bahawa beberapa pemain TFC tidak mengekalkan penjarakan fizikal dengan penyokong dan telah berlari ke arah penyokong, untuk meraikan gol kedua TFC.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan TFC diberikan amaran keras dan dinasihatkan supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut, bagi mengelak daripada dikenakan hukuman lebih berat,” kata Stuart.

Pada perlawanan itu, beberapa penyokong TFC telah melompat pagar stadium dan belari ke arah padang untuk meraikan jaringan bersama pemain skuad Penyu itu, sekali gus mengundang risiko berlakunya penularan COVID-19 dalam kalangan penyokong dan pemain. - BERNAMA
 

Advertisement